M Update, 25/7/2019 – Kes tertinggal anak dalam kereta ni bukan perkara baru. Dah banyak kes-kes sebelum ini. Pentingnya sikap peka supaya perkara tidak diingini seperti ini terjadi.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia selepas tertinggal dalam kereta dipandu datuknya di Taman Sungai Raya, di sini, Isnin lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa ditinggalkan hampir dua jam dalam kereta di luar pagar rumah mereka, sebelum datuknya menyedari ketiadaannya dalam rumah. Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibu dan datuknya, kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Langkawi (HL).
Sebelum kejadian, mangsa mengikut datuknya berusia 73 tahun menaiki kereta untuk mengambil kakak dan abangnya pulang dari sekolah berhampiran. Bagaimanapun, mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang belakang dipercaya tertidur ketika kakak dan abangnya keluar dari kenderaan.
Pemeriksaan mendapati mangsa tidak sedarkan diri sambil tertiarap di tempat duduk penumpang belakang, sebelum dibawa ke HL dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati datuk mangsa terus masuk dalam rumah dan beranggapan cucunya sudah keluar kereta bersama kakak dan abangnya.
Dua jam kemudian, mangsa disedari tidak berada bersama kakak dan abangnya di rumah mereka, sebelum ibunya keluar mencari mangsa di rumah datuknya. Laporan awal menunjukkan punca kematian mangsa disebabkan strok haba dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya lebih peka dan sentiasa mengawasi anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Sekiranya siasatan yang dijalankan mendapati wujud kecuaian tindakan pendakwaan terhadap ibu bapa atau penjaga berkenaan akan diambil.