M Update, 26/7/2019 – Selepas kemunculan paus pembunuh diikuti kejutan harimau belang ‘jinak’ masuk kampung, sekumpulan paus pilot sirip pendek atau Short Finned Pilot Whale pula dikesan muncul buat pertama kali di perairan Terengganu kelmarin.
Episod hidupan hampir pupus memunculkan diri di depan manusia di negeri ini masih belum berakhir apabila kumpulan ikan paus pilot sirip pendek itu atau nama saintifiknya Globicephala Macrorhynchus dikesan berenang berhampiran Pulau Perhentian di perairan Besut. Kehadiran kumpulan mamalia marin berkenaan disedari beberapa orang nelayan yang sedang memancing sebelum mereka sempat merakam kejadian itu menerusi video berdurasi 40 saat.
Ketua Cawangan Mamalia Marin Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad mengesahkan kumpulan ikan itu adalah paus pilot sirip pendek yang kini hampir pupus selepas meneliti rakaman video yang diterima dan dari keterangan yang diberikan nelayan terbabit. Katanya, kumpulan paus pilot sirip pendek tersebut dilihat berenang kira-kira 30 kilometer dari pantai dengan kedalaman air antara 30 hingga 35 meter.
Paus pilot sirip pendek ini tidak pernah melalui perairan negeri ini berdasarkan rekod yang terdapat di FRI Rantau Abang yang berada di bawah Jabatan Perikanan. Jadi tarikh 24 Julai 2019 merupakan rekod pertama paus ini muncul di Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Tamimi berkata, pihaknya percaya kumpulan mamalia marin tersebut menjadikan Laut China Selatan sebagai sebahagian laluan migrasi mereka. Katanya, nelayan yang melihat kejadian itu memaklumkan saiz mamalia marin itu sangat besar dan jumlahnya banyak. Kebiasaannya spesies ini memang sentiasa bergerak dalam kumpulan populasi mereka dalam bilangan antara 10 hingga 50 ekor.
Tambahnya, jangka hayat paus pilot sirip pendek antara 40 hingga 45 tahun dan umur kematangannya adalah antara 10 hingga 20 tahun. Jelasnya, kandungan untuk menghasilkan generasi baharu mengambil masa antara 15 bulan dengan saiz anak baru lahir mempunyai antara 1 hingga 1.9 meter panjang dengan berat 60 kg dan anak akan berpisah dengan ibu sehingga mencapai umur dua tahun.
Paus pilot sirip pendek biasanya hidup bergerak dan memburu dalam kumpulan populasinya antara 10 ekor sehingga mencapai 50 ekor ada juga sesetengah populasi boleh mencapai sehingga 200 ekor. Mohd Tamimi memberitahu, kali terakhir paus pilot sirip pendek pernah direkodkan dan terdampar mati adalah di Sarawak pada 2013 dan di Labuan pada 2015. Paus pilot sirip pendek adalah tersenarai dalam jadual mamalia marin iaitu antara salah satu spesies marin terancam di Malaysia.
Jabatan Perikanan melindungi spesies-spesies ikan marin terancam ini melalui penguatkuasaan Seksyen 27 Akta Perikanan 1985 mengenai Mamalia Akuatik atau Penyu di Perairan Perikanan Malaysia dalam Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 (Pindaan) 2019,” tegasnya. Katanya lagi, spesies paus pilot sirip pendek mula menjadi terancam dan hampir pupus kerana kebanyakan nelayan di negara seperti Jepun, Amerika, Filipina, China, Taiwan, Vietnam dan lain-lain lagi menjadikan spesies berkenaan sebahagian diet mereka. Ia kerana dagingnya mempunyai protein yang tinggi dan tekstur yang lembut. Sesetengah bahagian badan yang lain juga dibuat ubatan dan lain-lain produk,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, di peringkat antarabangsa, paus pilot sirip pendek dilindungi di bawah ‘International Union for Conservation of Nature’ (IUCN) kerana menjadi antara spesies marin terancam di dunia. Menurut beliau, paus pilot sirip pendek merupakan pemangsa dalam rantaian pemakanan di ekosistem lautan dan ia merupakan haiwan karnivor yang biasanya memburu dan memakan ikan, sotong, penyu, burung laut dan lain-lain.
Adakalanya paus ini juga memakan sampah sarap dan plastik yang bertebaran di lautan kerana terdapat beberapa kes kedamparan sakit dan mati di luar negara. Populasi paus ini hidup di serata lautan di dunia, habitat yang digemari adalah di kawasan laut yang tidak terlalu cetek, jauh dari pesisir pantai, laut yang sedikit panas, mempunyai kepadatan makanan seperti sotong yang banyak, mungkin oleh kerana perairan Terengganu mempunyai banyak sotong sebab itulah spesies ini menjadikan Laut China Selatan sebagai sebahagian laluan migrasi mereka. Mohd Tamimi menjelaskan, paus pilot sirip pendek menjadi perhatian umum dan dibela dalam kurungan bermula tahun 1960-an sehingga hari ini.
Katanya, setengah negara yang mempunyai taman tema akuarium laut seperti di The Marineland Antibes Theme Park Perancis, SeaWorld San Diego Carlifornia Amerika dan Seaworld Kamogawa Chiba Jepun, melatih paus pilot sirip pendek tersebut supaya lebih mesra dengan masyarakat dengan tujuan konservasi, pendidikan awam dan pertunjukan di akuarium.
Berikutan itu, Mohd Tamimi meminta agar mana-mana orang awam yang menemui spesies marin terancam sama ada masih hidup atau telah mati, segera menghubungi mana-mana Pejabat Perikanan Daerah atau Pejabat Perikanan Negeri atau FRI terdekat. Tindakan pantas anda boleh menyelamatkan nyawa spesies marin terancam sama ada masih hidup ia boleh dilepaskan segera ke laut lepas, atau jika telah mati ia perlu diuruskan dengan prosedur-prosedur tertentu.
Kami di FRI Rantau Abang dan Jabatan Perikanan sentiasa bersiap sedia sekiranya berlaku kedamparan (hidupan marin) sama ada hidup atau mati di mana sahaja,” katanya. – SH Online