Input your search keywords and press Enter.

KPWKM Lancar Soal Selidik Gangguan Seksual Dalam Talian

M Update, 6/8/2019 – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melancarkan Kajian Soal Selidik Mengenai Gangguan Seksual sebagai langkah pengumpulan input ke arah penggubalan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual.

“Ini antara cara untuk kita memahami, mendekati dan mendapatkan pandangan masyarakat berkaitan gangguan seksual terutama mereka yang pernah menjadi mangsa, sekali gus membantu menggubal undang-undang yang lebih baik. Identiti mereka yang menjawab soal selidik ini akan dirahsiakan dan mereka yang berumur 18 tahun ke bawah juga boleh mengambil bahagian.

Borang soal selidik ini boleh didapati di laman sesawang www.kpwkm.gov.my dan www.jpw.gov.my serta di media sosial KPWKM dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW),” katanya. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kajian soal selidik itu dibuat secara dalam talian yang akan berlangsung selama sebulan bermula hari ini hingga 5 September depan. Beliau berkata, soal selidik ini mengandungi 21 soalan yang akan menyentuh mengenai pemahaman, pengalaman dan cadangan tindakan lanjutan daripada masyarakat dan mengambil masa hanya kira-kira lima hingga 10 minit untuk dijawab.

Selain itu, KPWKM melalui JPW juga melancarkan pertandingan video kreatif ‘Hentikan! Stop It!’ sebagai advokasi untuk menggalakkan pembabitan masyarakat dalam memahami peranan setiap individu dalam mencegah keganasan termasuk gangguan seksual yang berlangsung bermula semalam hingga 5 Oktober depan.

Kementerian berharap pertandingan ini akan memberi inspirasi kepada masyarakat terutama anak muda untuk mencabar pemikiran dalam meningkatkan kesedaran mengenai gangguan seksual secara efektif. Sebagai kementerian yang komited meningkatkan martabat wanita di negara ini, kami sentiasa melihat kepada inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi menjaga kepentingan mereka termasuk menggiatkan usaha bagi melindungi dan memperkasakan golongan itu menangani pelbagai bentuk keganasan ke atas mereka, khususnya gangguan seksual,” katanya.

KPWKM sedar isu gangguan seksual turut berlaku kepada lelaki, tidak kira tua atau muda, jadi usaha menghentikan sebarang bentuk keganasan ke atas wanita atau lelaki, termasuk gangguan seksual, memerlukan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai sebarang bentuk keganasan yang berasaskan gender,” katanya.

Leave a Reply