Input your search keywords and press Enter.

Pelajar Malaysia Maut Terjatuh Pangsapuri Di Sydney

M Update, 7/8/2019 – Seorang pelajar Malaysia dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari pangsapuri yang didiaminya di Sydney, Australia pada Selasa.

Amirul Ashraff Md Azhar, 22, penuntut tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di University of Technology, Sydney, yang berasal dari Taiping itu adalah pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara). Bapa Allahyarham, Md Azhar Hasbullah, 48, berkata beliau menerima maklumat mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dihubungi pegawai Mara dari Australia petang tadi.

“Saya tidak pasti bila jenazah akan dibawa pulang ke negara ini. Pihak Mara akan menguruskannya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata Amirul Ashraff merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-22 pada 30 Julai lepas. Pada hari ulang tahun kelahirannya itulah kali terakhir saya berhubung dengan arwah,” katanya. Md Azhar berkata jenazah anaknya akan dibawa pulang ke Malaysia selepas selesai semua urusan di Sydney dan akan dikebumikan di Taiping.

Sementara itu, Mara dalam kenyataan berkata maklumat yang diperolehi daripada pihak berwajib memaklumkan kematian Amirul Ashraff akibat tergelincir daripada bangunan. Pegawai Mara Luar Negara di Australia telah bergegas ke tempat kejadian sejurus kejadian itu dilaporkan untuk tindakan pengecaman. Pihak Mara mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Mara dengan bantuan kedutaan akan berusaha memastikan urusan membawa pulang jenazah dapat dilakukan secepat mungkin selepas proses bedah siasat dilakukan. Mara akan mengurus proses membawa pulang jenazah Allahyarham sehinggalah diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian,” jelas kenyataan itu. – BERNAMA

Leave a Reply