M Update, 08/08/2019 – Seorang remaja maut apabila terjatuh sebelum terkena renjatan elektrik selepas memanjat sebuah pencawang elektrik semata-mata untuk merakam gambar selfie.
Mirror Online melaporkan, Nikolay Kompaniets, 16, dilaporkan memanjat satu pencawang setinggi 30 meter tanpa sebarang alatan keselamatan dan aksi itu dirakamkan oleh seorang rakannya.
Bagaimanapun, ketika hampir sampai ke puncak Kompaniets tergelincir dan terjatuh sebelum tersangkut di satu besi di pencawang berkenaan.
Kompaniets kemudiannya terkena renjatan elektrik dan tergantung di atas pencawang berkenaan.
Rakannya yang merakamkan aksi itu dengan telefon bimbit terus menghubungi pihak berkuasa untuk meminta bantuan.
Pasukan penyelamat yang tiba berjaya membawa remaja itu turun tetapi mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Rakan remaja itu memberitahu akhbar tempatan, mangsa memanjat pencawang berkenaan kerana mahu merakamkan gambar selfie yang menarik.
Sementara itu, polis berkata, pihaknya kemungkinan mengambil tindakan terhadap ibu bapa remaja itu kerana gagal menjaga anak mereka dengan baik.