M Update, 22/08/2019 – Penduduk Sao Paulo terkejut apabila bandar tersebut secara tiba-tiba bertukar menjadi gelap pada petang Isnin lalu yang dipercayai disebabkan oleh asap yang ditiup ke situ akibat kebakaran hutan Amazon.
Washington Post melaporkan, kejadian selama sejam kira-kira jam 4 petang itu dibincangkan meluas pengguna Twitter dengan ada yang menganggap dunia mahu kiamat, namun tidak kurang juga yang berseloroh menggelar keadaan itu sebagai ‘Mordor’ iaitu merujuk kepada kisah popular Lord of the Rings.
Akaun Twitter, Beyond the Shadows memuat naik gambar bandar itu yang kegelapan berserta keterangan ringkas.
“Asap akibat kebakaran hutan Amazon di Rondonia menyelubungi bandar. Sao Paulo sejauh 3,300km dari Boa Vista. Jarak itu lebih jauh berbanding Athens ke London, jadi bayangkan betapa teruk kerosakan akibat kebakaran itu,” katanya.
Pelbagai kejadian meteorologi bergabung dengan asap yang ditiupkan ratusan kilometer dari kebakaran hutan di kawasan terpencil hutan Amazon dilaporkan menyebabkan kejadian di bandar terbesar Brazil itu.
Pakar kaji cuaca Helena Turon Balbino dipetik Estadão berkata, kejadian itu juga akibat fenomena cuaca yang terbentuk dengan pembentukan udara lembap dari selatan serta tenggara.
Tanda pagar #PrayforAmazonia turut sohor kini di Twitter seterusnya turut menggambarkan kemarahan penduduk terhadap kekurangan liputan media dan tindakan pihak berkuasa terhadap kebakaran hutan besar yang melanda hutan berkenaan sejak lebih dua minggu lalu.
Menurut portal archinect antara perkara paling mencetuskan kemarahan adalah sikap Presiden Brazil, yang secara terbuka menggalakkan aktiviti pembalakan serta pembangunan ekonomi di Amazon.
Negeri terbesar Brazil, Amazonas mengumumkan darurat awal bulan ini disebabkan kebakaran hutan yang semakin meningkat, lapor Euro News.
Bulan Ogos hingga Oktober sering melihat kebakaran seumpama itu disebabkan kemarau, yang diterukkan dengan aktiviti manusia termasuk membersihkan hutan untuk penternakan lembu.
Asap akibat kebakaran hutan juga boleh dilihat dari angkasa lepas, lapor portal Vice manakala Institut Kajian Angkasa Lepas Kebangsaan Brazil baru-baru ini melaporkan peningkatan kebakaran hutan sebanyak 83 peratus tahun ini berbanding tempoh sama pada 2018.