M Update, 23/8/2019 – Rampasan 3,667kg dadah jenis kokain dan ketamin di Selangor dengan nilai keseluruhan RM676 juta, 18 Ogos lepas adalah antara kejayaan terbesar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), setakat ini.
Ini berdasarkan rekod kedua-dua jabatan, kata Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Paddy Abd Halim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd pada sidang media bersama di JKDM Cawangan Narkotik, Jijan, di sini, hari ini.
Pada 18 Ogos lepas, JKDM dan PDRM, selepas melakukan risikan lebih sebulan, melakukan dua serbuan di dua premis kedai, masing-masing di Puncak Alam pada 4.30 petang dan Seksyen U5, Shah Alam pada 9.20 malam. Rampasan di premis kedai Puncak Alam membabitkan 467kg ketamin manakala serbuan di Seksyen U5 membabitkan rampasan 3,200kg kokain,” katanya.
Mengulas lanjut, Paddy berkata siasatan awal mendapati dadah yang dirampas di Puncak Alam dibawa masuk dari Pakistan manakala yang dirampas di Seksyen U5 dari Ecuador, yang dibawa masuk menerusi Pelabuhan Klang. Siasatan awal mendapati kesemua dadah yang dirampas itu disyaki untuk dieksport semula ke negara ketiga,” katanya dan enggan mendedahkan negara berkenaan.
Paddy berkata dalam serbuan di premis pertama, pihaknya turut menahan 13 suspek lelaki dengan empat daripadanya adalah warga tempatan manakala baki adalah warga asing, yang berumur 27 hingga 56 tahun. Katanya, kesemua mereka diperintahkan direman oleh Mahkamah Majistret Kuala Selangor sehingga 30 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sementara itu, Paddy tidak menolak kemungkinan Malaysia dijadikan negara transit untuk dadah berkenaan dan Mohd Khalil berkata pihaknya percaya bahawa dadah berkenaan bukan untuk pasaran tempatan, tetapi sebaliknya untuk negara ketiga. Kalau tengok penagihan di Malaysia, kokain bukan (dadah) yang diambil oleh penagih di sini,” katanya sambil memaklumkan bahawa dadah syabu merupakan antara dadah yang tertinggi diambil penagih negara ini. – BERNAMA