M Update, 26/08/2019 – Seorang lelaki dan ibunya yang sanggup berlakon dalam sebuah kemalangan jalan raya semata-mata untuk meraih lebih ramai pengikut di laman sosial medianya apabila kejadian tersebut membawa padah apabila dua beranak itu dipenjara selama lima hari.
Polis di bandar Zhengzhou, wilayah Henan memberitahu, mereka menerima laporan mengenai gangguan jalan raya pada minggu lalu selepas seorang selebriti media sosial merakamkan adegan satu kemalangan yang diada-adakan.
Lelaki itu yang dikenali sebagai Chao, 26, memandu sebuah kereta mewah Lamborghini berwarna biru di satu persimpangan di daerah Jinshui.
Sampai di persimpangan berkenaan dia berpura-pura berlanggar dengan sebuah skuter elektrik yang ditunggang ibunya.
Wanita berusia 55 tahun itu kemudiannya dilihat berguling-guling di atas jalan raya hingga menyebabkan lalu lintas di persimpangan berkenaan terganggu.
Aksi itu dirakam rakannya dikenali sebagai Liu dan ia bertujuan untuk membuat lawak serta membantu Chao menarik lebih ramai pengikut di laman media sosial Weibo.
Polis berkata, insiden itu menyebabkan lalu lintas di persimpangan berkenaan terhenti selama 40 minit.
Insiden itu turut dirakam pengguna jalan raya yang lain dan dimuat naik di laman Pear Video.
Tindakan dua beranak itu menyebabkan pengguna jalan raya marah dan mereka turut dikecam pengguna media sosial.
Menurut polis, ketiga-tiga individu itu ditahan dan didenda 200 yuan (RM118) setiap seorang kerana mengganggu ketenteraman awam.