Input your search keywords and press Enter.

Lapor Jika Terlihat Aktiviti Mencurigakan Di Laut – ESSCom

M Update, 4/9/2019 – Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (ESSCom) Datuk Hazani Ghazali meminta komuniti maritim khususnya nelayan agar melapor terus kepada pasukan keselamatan jika terlihat apa-apa aktiviti yang mencurigakan di laut.

“Jangan teragak-agak untuk membuat laporan agar kita dapat hidup dalam keadaan harmoni dan selamat,” kata Hazani.

Menurut beliau ini bagi membolehkan pasukan mengambil tindakan pantas dan sewajarnya dalam menangani jenayah di laut. Seperti kejadian tembak-menembak yang terjadi di perairan Felda Sahabat semalam, saya mendapat maklumat bahawa komuniti di perairan kawasan itu memang telah mengesan keadaan mencurigakan tetapi tidak melaporkan kepada pasukan keselamatan khususnya pasukan ESSCom.

Setelah kejadian ini berlaku, barulah ada yang berani membuka mulut dan memberitahu bahawa suspek tersebut telah dilihat beberapa hari berlegar-legar di perairan kita,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, semalam, polis menumpaskan dua penjenayah yang ditembak mati di perairan Felda Sahabat dipercayai hendak melakukan jenayah.

Pam bot dinaiki dua lelaki dan sebuah lagi pam bot dikesan oleh pegawai dan anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan perairan itu. Hazani berkata sebab itu penting mana-mana pihak untuk melaporkan sebarang pergerakan yang mencurigakan di perairan khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZOne) agar tiada kejadian tidak diingini terjadi. Menurutnya masyarakat harus menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan. – BERNAMA

Leave a Reply