Input your search keywords and press Enter.

Dr M : Syarikat Korporat Dedah Maklumat Rasuah Akan Dilindungi

M Update, 20/9/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan kerajaan akan melindungi syarikat korporat yang memberi maklumat berhubung rasuah, sama ada dalam sektor awam atau swasta.

Perdana Menteri berkata syarikat korporat yang memberi maklumat itu tidak akan didiskriminasi oleh mana-mana agensi kerajaan, termasuklah agensi yang dilaporkan.

“Saya merayu pada pihak korporat Malaysia untuk membantu kerajaan menentang salah laku rasuah dalam sektor awam atau swasta demi kebaikan kita dan anak cucu kita.

Syarikat yang memberi maklumat mengenai rasuah akan dilindungi. Mereka tidak akan didiskriminasi mana-mana agensi kerajaan. Rasuah meningkatkan kos perniagaan dan memberi kesan pada pengguna serta pekerja kerana kos itu akhirnya akan ditanggung mereka. Apabila rasuah dikurangkan, syarikat akan mencipta lebih banyak keuntungan, yang akhirnya meningkatkan faedah pada pekerja, pemegang taruh dan masyarakat,” katanya.

Dr Mahathir turut menegaskan, Pakatan Harapan (PH) sudah berjaya menunaikan beberapa janji yang diutarakan dalam manifestonya sama ada secara sepenuhnya atau sebahagian, namun beberapa janji lain memerlukan sedikit masa. Keadaan dihadapi kerajaan baharu sama seperti dialami pengurusan baharu bagi sebuah syarikat yang gagal.

Apabila mengambil alih syarikat itu, anda dapati keadaan sebenarnya lebih buruk daripada yang anda fikirkan atau diberitahu, dengan liabiliti serta kerugian tersembunyi selain beberapa isu lain. Ketika itulah baru anda sedar ia memerlukan lebih banyak masa untuk mengubah syarikat itu.

“Saya yakin komuniti perniagaan lebih memahami dan memainkan peranan serta menyokong apa yang dilakukan kerajaan PH untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir mengingatkan komuniti perniagaan untuk tidak mudah terpengaruh dengan isu politik yang dilaporkan setiap hari, selain berhati-hati dengan berita palsu yang menjadi sebahagian realiti hari ini. Jangan biarkan ini semua memesongkan kita daripada apa yang perlu kita lakukan, iaitu memastikan pertumbuhan ekonomi menerusi perniagaan yang lebih hebat,” katanya.

Leave a Reply