M Update, 20/9/2019 – Seorang bilal sukarela sempat menghabiskan laungan azan fardu Isyak sebelum rebah dan disahkan meninggal dunia di Masjid An-Nur, Felda Teloi Timur, Kuala Ketil, Sik, semalam.
Dalam kejadian 8.25 malam itu, Ahmad Saad, 68, yang juga seorang peneroka dikatakan rebah semasa ingin melakukan solat sunat. Salah seorang jemaah masjid yang menyaksikan kejadian, Azhari Zakaria, 46, berkata, ketika itu, jemaah masjid baru sahaja selesai membaca Yasin dan bersiap sedia untuk mengerjakan solat Isyak.
Arwah bangun ke arah pembesar suara dan melaungkan azan seperti biasa. Selepas selesai melaungkan azan arwah bergerak ke tepi mimbar masjid untuk solat sunat. Ketika ingin mengangkat takbir, arwah jatuh dan terus tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Daerah Sik,” katanya ketika ditemui Felda Teloi Timur, di Sik, hari ini.
Azhari berkata, arwah sering menawarkan diri untuk melaungkan azan di masjid itu terutama pada waktu Subuh. Memang setiap kali solat fardhu arwah akan jemaah di masjid dan boleh jumpanya setiap waktu di masjid. Malah, jika tiada orang azan, arwah akan tawarkan diri untuk melaungkan azan,” katanya. Azhari yang juga penjaga masjid menyifatkan Ahmad seorang yang lemah lembut dan suka membantu orang lain.
Cara kematiannya sangat dicemburui yang mana saya sendiri menyaksikan muka arwah berseri-seri. Selain, arwah begitu tenang dalam pemergiannya dengan terdapat sedikit peluh di dahinya,” katanya. Jenazah Ahmad akan disembahyangkan di masjid berkenaan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Teloi Timur, 11.30 pagi ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman mengesahkan mangsa meninggal dunia pada 8.30 malam, akibat sakit tua. Mangsa dipercayai mengalami sesak nafas sebelum rebah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – HM Online