M Update, 23/9/2019 – Kemakmuran dan keamanan yang dinikmati di Malaysia hari ini adalah salah satu nikmat Allah yang dicapai menerusi perpaduan dan keharmonian hidup dalam kalangan rakyat yang berbilang agama, bangsa dan kebudayaan. Nikmat-nikmat ini mestilah terus dipelihara dan dijaga supaya ai terus kekal dan dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
Perpaduan adalah hadiah tidak ternilai dan perlu dipelihara serta dihargai semua rakyat yang hidup berbilang kaum seperti di negara yang kita cintai ini. Perpaduan terhasil apabila rakyat daripada pelbagai etnik dan agama saling hormat- menghormati antara satu sama lain dan sentiasa berhati-hati serta menyedari sensitiviti dan agama serta budaya masing-masing demi keharmonian antara kaum.
Menurut Dr. Al-Azharri Siddiq Kamunri daripada Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri berkata, tema`Malaysia Bersih’ begitu sesuai untuk dihayati rakyat Malaysia dalam bersama-sama dengan kerajaan dalam berusaha membenteras rasuah dan ke arah negara yang bersih.
“Bila kita mempunyai perasaan kebersamaan maka perbezaan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum ini boleh diatasi dengan mudah kerana yang paling penting kita perlu fahami dalam dunia moden ini ialah kita tidak boleh hidup secara bersendirian dan kita saling memerlukan antara satu sama lain.
Jika kita tidak mempunyai semangat kekitaan, maka ancaman keselamatan Negara pada masa hadapan ialah disebabkan perpecahan kaum,” katanya.
Ujarnya lagi, sekiranya perpecahan kaum berlaku pada masa akan datang ianya bukan daripada generasi akan datang tetapi generasi kita pada hari ini yang tidak menyemai bibit-bibit perpaduan dengan baik.
“Kalau kita masih lagi membuat perkara yang memecah belahkan perpaduan, maka akan memupuk budaya negatif kepada generasi yang akan datang. Paling penting pemimpin pada hari ini perlu mempromosikan nilai-nilai Malaysia yang baik serta mengenang jasa pemimpin terutamanya dalam mencapai kemerdekaan,” tambahnya lagi.
Beliau turut menasihati agar golongan mahasiswa dan generasi baharu kini terus mengenang perjuangan orang terdahulu agar perasaan kasih sayang dan cintakan Negara tidak terhakis dan akan kekal selamanya. – UMP News