Input your search keywords and press Enter.

Dr M : PBB Digesa Tangani Krisis Rohingya

M Update, 25/9/2019 – Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan Myanmar dikritik hebat kerana tidak bertindak menyelesaikan krisis etnik Rohingya yang menyebabkan jutaan orang kini menjadi pelarian.

Tindakan PBB berdiam diri dalam isu itu amat ketara, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menyifatkan organisasi berusia 75 tahun itu gagal memenuhi tujuannya dalam memastikan kekejaman seperti itu tidak berlaku.

“Tanpa tindakan Majlis Keselamatan, pihak lain perlu memainkan peranan masing-masing untuk menyelesaikan krisis ini dan membawa pesalah ke muka pengadilan,” katanya pada acara sampingan peringkat tinggi mengenai ‘Krisis Rohingya – Menuju Ke Hadapan’ yang berlangsung di ibu pejabat PBB di sini.

Yang turut hadir, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed. Tentera Myanmar didakwa bertanggungjawab membunuh ribuan etnik Rohingya di barat Rakhine sejak 2017, yang membawa kepada penghijrahan besar-besaran minoriti Muslim itu ke negara jiran, sehingga mewujudkan kem pelarian terbesar dunia di Cox’s Bazar, Bangladesh. Dr Mahathir berkata, krisis yang berlaku di Rakhine adalah genosid.

“Apa yang berlaku adalah pembunuhan besar-besaran, jenayah rogol secara sistematik dan perbuatan jijik lain yang melanggar hak asasi manusia,” katanya.

Perdana Menteri turut memuji usaha Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) membawa isu itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa, dan berharap negara lain akan menyokong OIC bagi memastikan pesalah tidak terlepas daripada jenayah yang dilakukan. Bagi pihak kami, Malaysia juga cuba melakukan yang termampu. Selain daripada memberikan bantuan kemanusiaan, Malaysia mengoperasikan hospital medan di Cox’s Bazar. Kami juga menerima hampir 100,000 pelarian Rohingya berdaftar,” katanya.

Dr Mahathir berkata, keadaan pelarian itu akan bertambah terdesak jika terus tinggal di kem di Myanmar, termasuk terdedah untuk dieksploitasi menjadi mangsa penyeludupan manusia dan hamba seks. Pihak berkuasa Myanmar turut menghalang kemasukan beberapa pegawai PBB dan pekerja kemanusiaan.

“Jika tiada apa yang mahu disembunyikan pihak Myanmar, kenapa halang kemasukan mereka untuk melihat situasi di Rakhine? Benarkan mereka melawat, memeriksa dan membantu pelarian yang berada di kem,” katanya.

Dr Mahathir berkata, jika Myanmar serius menyelesaikan krisis itu, keutamaan perlu diberikan pada penghantaran pulang pelarian. Dua cubaan penghantaran pulang sebahagian pelarian itu namun kedua-duanya gagal. Sebabnya jelas. Tiada yang akan kembali jika mereka rasa keselamatan diri tidak terjamin. Dalam isu ini, Malaysia akan kekal menggesa penghantaran pulang dilakukan secara selamat, sukarela dan terhormat.

“Ia hanya boleh dilakukan dengan memberikan kerakyatan penuh kepada Rohingya. Namun, pihak berkuasa Myanmar memanipulasi isu Rohingya untuk menimbulkan rasa takut, benci dan keganasan, hingga mempertimbangkan idea memberi kerakyatan penuh pun tidak boleh diterima,” katanya.

Dr Mahathir berkata, tiada satu pun kekejaman yang berlaku pada 2017 diambil kira. Antaranya, mereka yang didakwa terbabit dalam pembunuhan besar-besaran Inn Dinn dibebaskan selepas dipenjara hanya setahun walaupun dihukum penjara 10 tahun. Sabitan kesalahan itu hanya cubaan untuk mengelirukan kita, kononnya mereka mengheret pelaku jenayah ke muka pengadilan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus membantu etnik Rohingya semampu mungkin.

“Kami harap pihak lain akan membantu kami dan Bangladesh dalam menyelesaikan kesengsaraan dilalui etnik Rohingya. Kita perlu menamatkan krisis ini dan ia perlu dilakukan sekarang,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply