M Update, 25/9/2019 – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Belanda, Mark Rutte di luar sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).
Perbincangan pada Selasa itu, menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, adalah pertemuan dua hala antara Malaysia dan Belanda.
“Kedua-dua negara berusaha mewujudkan kerjasama yang lebih erat dalam sektor pertanian menggunakan teknologi tinggi untuk membantu pekebun kecil menjadi lebih produktif sebagai petani pintar,” katanya di Twitter.
Mohamed Azmin berkata Dr Mahathir juga dijemput untuk melawat Belanda. Perdana Menteri Belanda Mark Rutte mengundang Dr Mahathir untuk melawat dan meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya. Mohamed Azmin turut melahirkan keyakinan bahawa ada potensi ekonomi yang boleh diusahakan melalui hubungan erat antara kedua-dua negara.
Selain Mohamed Azmin, turut hadir dalam perbincangan itu ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah. Dr Mahathir, yang tiba di New York pada Selasa untuk mengetuai delegasi Malaysia di UNGA, turut mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden Kanan Google untuk Hal Ehwal Global Kent Walker. – BERNAMA