M Update, 26/09/2019 – Pelajar Indonesia berhimpun sekali lagi hari ini memprotes cadangan pelaksanaan undang-undang baru termasuk kanun jenayah yang mengharamkan seks luar perkahwinan serta perbuatan menghina presiden, sehari selepas pertempuran di ibu negara itu menyebabkan lebih 300 kecederaan.
Perhimpunan pada hari Selasa disuraikan polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air di Jakarta dan beberapa bandar lain.
Bantahan diadakan hari ini lebih kecil namun berlaku sedikit pertelingkahan di kawasan sekitar Parlimen, dengan gas pemedih mata sekali lagi digunakan untuk menyuraikan orang ramai.
Sekurang-kurangnya 200 pelajar ditahan kerana tiada permit untuk melakukan protes, kata jurucakap polis Jakarta Argo Yuwono.
Pelajar turut melakukan protes di Surabaya dan menyerbu bangunan dewan perwakilan tempatan di Padang, Sumatera Barat, lapor media.
Ketua Polis Jakarta Gatot Eddy Pramono berkata, 265 pelajar dan 39 anggota polis cedera pada hari Selasa, manakala 94 orang ditahan. Ada antara mereka yang ditahan turut membawa bom petrol, katanya.
Universiti Al Azhar di Jakarta berkata dalam satu kenyataan, seorang pelajarnya dalam keadaan kritikal selepas mengambil bahagian dalam protes, semalam. Pegawai hospital berkata, pelajar itu cedera di kepala dan tulang selangka.
Presiden Joko Widodo (Jokowi) pada Jumaat lalu menangguhkan undian Parlimen terhadap kanun jenayah baru itu, yang sepatutnya menggantikan undang-undang era penjajahan Belanda, dengan debat rang berkenaan diadakan bulan depan.
Antara perubahan bakal diperkenalkan termasuk penalti untuk seks di luar perkahwinan; menghina presiden; penjara empat tahun bagi perbuatan menggugurkan kandungan tanpa sebab perubatan atau rogol; selain hukuman penjara jika menggunakan ilmu hitam.
Gatot berkata, polis menyiasat peranan kumpulan bukan pelajar dalam protes itu tetapi tidak mengulas lanjut.
“Jika terbukti mereka melakukan kerosakan, kami akan mengambil tindakan tegas dan memulakan proses perundangan,” katanya.
Pelajar turut membantah pindaan terhadap undang-undang membabitkan agensi antirasuah negara itu, KPK, dan pelantikan pesuruhjaya baru yang dilihat mampu melemahkan perang terhadap korupsi.