Input your search keywords and press Enter.

Wanita Didakwa Langgar Peserta Maraton

M Update, 4/10/2019 – Wanita yang terbabit kes langgar lari dua peserta larian Standard Chartered KL Marathon, Ahad lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, hari ini, atas pertuduhan memandu melulu hingga menyebabkan kemalangan dan memiliki dadah.

Peniaga dalam talian, Cham Shan Jer, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali. Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan bernombor pendaftaran VK8854 di jalan awam dengan cara melulu atau bahaya kepada orang lain hingga menyebabkan kemalangan terhadap Lee Wei Jack dan Faizul Shahrul Mohd Salleh.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), selepas susur Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menghala ke Gombak, kira-kira 6 pagi, 29 September lalu. Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM15,000, jika sabit kesalahan. Tertuduh juga didakwa memiliki dadah methamphetamine (anggaran berat 14.5 gram) di dalam lokap Balai Polis Pandan Indah, Jalan Pandan Ilmu dekat Ampang, pada 4.30 pagi, 30 September lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Intan Syakieraah Zakaria. Tertuduh yang diwakili peguam TL Chen merayu dikenakan jaminan yang rendah atas alasan dia seorang ibu tunggal perlu menanggung anak berusia dua tahun dan ibu bapanya. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 bagi kedua-dua kesalahan.

Dua peserta lelaki berusia 44 tahun dirempuh kereta dipandu suspek yang terbabas di laluan berkenaan, menyebabkan kedua-duanya cedera. Seorang mangsa retak tulang pinggul dan dirawat di zon merah di Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala seorang lagi yang luka pada kaki menerima rawatan di zon hijau hospital sama. – HM Online

Leave a Reply