Input your search keywords and press Enter.

Agong, Permaisuri Berangkat Tiba Di Tokyo

M Update, 22/10/2019 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba di Tokyo semalam, bagi menyaksikan Upacara Pertabalan Maharaja Jepun ke-126, Maharaja Naruhito yang dijadualkan hari ini.

Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di sebuah hotel di sini pada jam 7.40 malam waktu tempatan (kira-kira jam 6.40 petang waktu Malaysia), disambut Duta Besar Malaysia di Jepun, Datuk Kennedy Jawan dan isteri, Datin Josepine Anak Dagang.

Terlebih dahulu, pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di sini pada jam 5.30 petang (waktu tempatan). Kehadiran Seri Paduka berdua adalah atas jemputan kerajaan negara matahari terbit itu, bagi menyaksikan upacara bersejarah buat negara itu yang akan berlangsung di Istana Imperial yang terletak di pusat bandar Tokyo.

Kunjungan Seri Paduka berdua ke Jepun juga adalah yang pertama sejak Sultan Abdullah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai lalu. Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang dijadualkan berada di sini selama empat hari, juga akan berangkat ke Majlis Santapan Malam anjuran Maharaja Naruhito dan Maharani Masako selain Jamuan Teh Diraja pada Rabu. Upacara pertabalan Maharaja Jepun kali terakhir diadakan pada November 1990, iaitu bagi Maharaja Akihito, 85, yang dimasyhurkan pada Januari 1989.

Maharaja Naruhito, 59, dimasyhurkan pada 1 Mei lalu bagi menggantikan ayahanda baginda yang melepaskan takhta atas faktor kesihatan, sekali gus menjadi Maharaja pertama berbuat demikian dalam tempoh 200 tahun. Pemasyhuran itu menandakan bermulanya era baharu Jepun, iaitu ‘Reiwa’ yang bermaksud harmoni dan tertib sekali gus mengakhiri era ‘Heisei’ bererti mencapai keamanan di bawah pemerintahan Maharaja Akihito. – BERNAMA

Leave a Reply