Input your search keywords and press Enter.

Malaysia Mampu Kembali Jadi ‘Harimau Asia’ Melalui Pendidikan

M Update, 23/10/2019 – Malaysia mampu kembali menjadi ‘Harimau Asia’ melalui bidang pendidikan dengan sokongan bantuan dan dana daripada sektor swasta yang terbabit dalam pelbagai perindustrian negara.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata sektor swasta perlu mengambil peluang bekerjasama dalam pelbagai program seperti penajaan biasiswa dan pemberian dana serta geran.

Beliau berkata, dana dan sumbangan sektor swasta mampu menjana bidang pendidikan negara kerana ia berfungsi menaik taraf pelajar terbabit. Pelbagai perkara mampu dilakukan melalui kerjasama industri dan sektor swasta yang berperanan mendidik rakyat Malaysia dari segi minda serta sivik.

“Melalui pendidikan, modal insan ini mampu mengembalikan Malaysia sebagai ‘Harimau Asia’ dan menjadikan masyarakat kita contoh kepada semua pihak,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Sekunder Program Kolaborasi Industri, semalam.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diutamakan dan ditransformasi agar negara mampu mendepani Revolusi Perindustrian 4.0.

“Kita sedang menghadapi gelombang Revolusi Perindustrian 4.0 dan semua tahu ia bermula di Jerman. Oleh itu, saya fikir reformasi sistem pendidikan TVET di negara ini harus bermula dengan menerokai sistem pendidikan itu.

“Transformasi itu bukan hanya pada sistem tetapi juga mentaliti kerana saya melihat masyarakat Jerman adalah ‘perfectionist’, iaitu hanya mahukan produk yang terbaik.

“Menuju ke arah itu, industri perlu bersama-sama sektor pendidikan untuk merangka sistem pendidikan TVET yang mereka sendiri perlukan,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply