Input your search keywords and press Enter.

Musim Tengkujuh Dijangka Bermula Esok

M Update, 23/10/2019 – Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh dijangka bermula esok 24 Oktober ini sehingga Mac tahun depan dengan empat hingga enam episod hujan lebat diramal berlaku dalam tempoh tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, bagi fasa awal monsun iaitu sehingga awal Januari 2020 episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. Menurutnya, manakala bermula awal Januari dan Februari 2020 episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Sarawak serta Sabah.

“Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir. Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang pula, risiko berlakunya banjir boleh menjadi lebih buruk.

“Selain itu, tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang juga boleh menyebabkan laut bergelora serta ombak besar di perairan Laut China Selatan,” katanya menerusi satu kenyataan media semalam.

Tambah beliau, sehubungan itu orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan nasihat atau amaran hujan lebat, angin kencang serta laut bergelora dikeluarkan MET Malaysia.

Katanya lagi, maklumat terkini akan dipaparkan melalui laman web rasmj jabatan, aplikasi mobil myCuaca serta laman media sosial rasmi jabatan dan orang ramai boleh hubungi talian hotline METMalaysia 1-300-322-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Leave a Reply