M Update, 25/10/2019 – “Adik(Qaseh Al-Qausar) selalu sebut ayah, mungkin dia rindukan ayah dan tidak tahu ayah sudah tiada lagi,” kata Muhammad Harraz Nasriq Kamarul Sharizam, 11, anak kedua Allahyarham Kamarul Sharizam Kamarudin yang meninggal dunia tiga jam selepas pulang daripada menunaikan umrah, Selasa lalu.
Muhammad Harraz berkata, adik bongsunya yang berusia dua tahun itu kerap memanggil ayah selepas pengebumian, kelmarin, menyebabkan adik-beradik lain turut sedih.
Katanya, ayah sering berpesan supaya dia menjaga adik-adik kerana abang sulung, Muhammad Haiqal Nashriq, 13, menghidap autisme.
“Pemergian ayah amat mengejutkan kami. Sekelip mata kami menjadi anak yatim.
“Kami sangat sedih kerana arwah ayah terlalu baik dan menjadi tempat kami bergantung selama ini. Kami hilang tempat bermanja kerana dialah ayah dan dialah ibu,” katanya.
Allahyarham Kamarul Sharizam yang juga bapa tunggal sebelum ini buntu memikirkan masa depan enam anaknya selepas menghidap pelbagai penyakit seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, asma dan batu karang.
Lebih menyedihkan, arwah perlu membesarkan semua anaknya yang berusia dua hingga 13 tahun selepas bercerai dengan isterinya, dua tahun lalu.
Sementara itu, bapa saudaranya, Mohd Zatullah Kamarudin, 27, berkata, dua anak arwah iaitu Muhammad Harraz dan Muhammad Azrin Nashriq, 9, akan ditempatkan di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Walidaina yang diuruskan olehnya.
“Muhammad Haikal akan menetap bersama kakak saya di Seremban memandangkan rumahnya berdekatan sekolah yang mempunyai kelas pendidikan khas.
“Sementara itu, Qaseh Irdanu Qaisara, 7, dan Qaseh Nurqisha Irdani, 4, dijaga sepupu saya manakala Qaseh Al-Qausar, 2, dijaga jiran yang kini melengkapkan proses mengambilnya sebagai anak angkat,” katanya.
Mohd Zatullah berkata, semua enam beradik itu tinggal di sekitar Seremban untuk memudahkan pemantauan dan kebajikan mereka.
Orang ramai yang mahu membantu enam beradik itu boleh menghubungi adik arwah, Mohamad Zatullah di talian 013-6369726.
Harian Metro, semalam melaporkan, bapa tunggal enam anak yang kisahnya disiarkan akhbar ini Ogos lalu meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) sebaik pulang daripada menunaikan umrah, kelmarin.