Input your search keywords and press Enter.

NADMA : 2,371 Mangsa Banjir Dipindahkan Di 6 Negeri

M Update, 29/10/2019 – Seramai 2,371 mangsa banjir daripada 657 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kedah dan Johor, sehingga jam 8 pagi tadi.

Jumlah itu meningkat 400 orang berbanding 1,971 mangsa daripada 576 keluarga di lima negeri, sehingga jam 8 malam tadi. Pusat Kawalan Bencana Negara (NADMA) melaporkan, jumlah mangsa tertinggi adalah di Selangor iaitu meningkat kepada 858 orang daripada 276 keluarga, yang ditempatkan di empat PPS di Kuala Selangor.

Jumlah mangsa banjir di Johor kekal 524 orang daripada 129 keluarga, yang ditempatkan di 10 PPS di empat daerah terjejas iaitu Batu Pahat, Pontian, Kulaijaya dan Kluang. Di Perak dan Pulau Pinang, jumlah mangsa masing-masing meningkat berbanding semalam, iaitu seramai 155 orang daripada 619 keluarga dan 83 orang daripada 22 keluarga.

Di Kedah pula, jumlah mangsa banjir menurun iaitu seramai 206 orang daripada 56 keluarga. Selain itu, Perlis membuka PPS bagi menempatkan 81 mangsa banjir daripada 19 keluarga di negeri itu, iaitu di Masjid Banggol Sena, Chuping. Sebanyak 28 PPS dibuka di seluruh negara di 14 daerah yang terbabit bencana itu.

NADMA turut memaklumkan penutupan Jalan Bagan Serai – Alor Pongsu – Selama, Kerian yang ditutup kepada semua kenderaan. – BH Online

Leave a Reply