Input your search keywords and press Enter.

Banjir Di Beberapa Buah Negeri Semakin Pulih

M Update, 2/12/2020 – Banjir di Terengganu pulih manakala di berapa negeri keadaan semakin baik apabila terdapat pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup dan jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS berkurangan pagi ini, berbanding semalam.

Di Terengganu, gelombang kedua banjir di negeri ini yang bermula sejak 24 Nov lepas, tamat apabila satu-satunya PPS yang dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, Marang, yang sebelum ini menempatkan lapan mangsa daripada tiga keluarga ditutup sepenuhnya pada 10.30 pagi ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Left Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata kesemua mereka dibenarkan pulang apabila banjir termenung di sekitar rumah mereka surut pagi ini dan cuaca juga dilaporkan semakin baik di Terengganu setakat ini.

Banjir gelombang kedua sebelum ini menjejaskan daerah Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman dan Marang.

Di Melaka, mangsa banjir berkurangan kepada 12 orang daripada dua keluarga pada 8 pagi ini berbanding 16 mangsa daripada tiga keluarga pada 4 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Left Kol (PA) Effendy Ali berkata kesemua mangsa dari Kampung Tasek, Kampung Tersusun dan Kampung Parit Penghulu itu ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Gantong di Jasin.

Di Sarawak, keadaan banjir di Bintulu semakin pulih pagi ini, dengan jumlah mangsa yang masih ditempatkan di PPS berkurangan kepada 71 orang.

Ketua Sekretariat JPBN Sarawak Mej Ismail Mahedin berkata setakat 8 pagi tadi, hanya PPS di Dewan Suarah Bintulu masih beroperasi untuk menempatkan mangsa daripada 25 keluarga selepas PPS di Stadium Muhibbah ditutup pada 12 tengah hari semalam.

Penutupan PPS itu dibuat setelah 30 mangsa dari lapan keluarga yang masih ditempatkan di situ dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing.

Tiga kawasan kediaman di Bintulu, masing-masing terletak di Sungai Plan, Sungai Sebatang dan Kidurong Avenue dinaiki air susulan hujan lebat pada Sabtu lepas sehingga menyebabkan air dari sungai berdekatan melimpah.

Sementara di Kelantan dan Perak, jumlah mangsa banjir di PPS pada pagi ini tidak berubah berbanding semalam.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Tok Deh, Pasir Mas kekal 22 orang daripada lima keluarga setakat 8 pagi ini, menurut pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas Azizan Aziz.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang Imran Ismail berkata paras Sungai Golok di Rantau Panjang mencatat bacaan 8.5 meter setakat 8 pagi ini, iaitu melepasi paras amaran 8m, namun menunjukkan trend menurun.

Katanya, paras air tidak menunjukkan peningkatan kerana tiada taburan hujan lebat dan hanya terdapat aliran air dari hulu Sungai Golok, manakala bacaan paras air di Sungai Jenob, Tanah Merah ialah 19.82m iaitu di bawah paras waspada 21.50m.

Beberapa kawasan rendah seperti di Kampung Lachang, Kampung Terusan dan Kampung Bongor di Rantau Panjang masih digenangi air sejak beberapa hari lepas, kata Imran.

Di Perak, jumlah mangsa banjir kilat yang berada di PPS di dua daerah iaitu Kerian dan Perak Tengah kekal 37 orang seperti semalam, setakat 8 pagi ini.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat  bagi daerah Kerian, seramai 27 orang daripada lapan keluarga berada di PPS di SK Changkat Lobak, Bagan Serai.

Sementara itu, seramai 10 orang daripada enam keluarga berada di SK Titi Gantung, Bota di daerah Perak Tengah.