M Update, 30/10/2019 – Sebuah kedai kopi popular di pusat bandar ini antara tujuh premis menjual makanan di sini, yang diarah tutup selama 14 hari bermula semalam, selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihannya tidak memuaskan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Mohd Jusoh, berkata, pemeriksaan pihaknya ke kedai kopi yang terkenal dalam kalangan penduduk setempat dan pelancong itu mendapati, pemiliknya gagal mematuhi tahap kebersihan sepatutnya. Beliau berkata, antara kesalahan dikenal pasti, termasuk premis yang kotor, kebersihan peralatan dan tempat memasak yang tidak memuaskan selain pengurusan sampah yang tidak terurus.
Hasil pemeriksaan pegawai dan penguatkuasa kita menerusi Operasi Bersepadu yang dijalankan di kedai kopi itu semalam mendapati premis itu kotor dan tidak memuaskan. Beberapa kelemahan ditemui untuk tindakan segera. Antara yang paling utama ialah premis kotor, kebersihan peralatan dan tempat memasak yang tidak memuaskan, selain sistem air limbah dan pengurusan sampah tidak sempurna.
Selain itu kita juga mendapati suhu peti sejuk digunakan untuk menyimpan barang makanan tidak sesuai, malah terdapat juga pekerja mereka yang belum hadir kursus pengendalian makanan. Berikutan itu JKNT mengarahkan kedai itu ditutup selama dua minggu bermula semalam hingga 12 November ini untuk menjalankan kerja pembersihan dan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dr Mohd berkata, arahan penutupan kedai kopi berkenaan dibuat mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983. Mengikut rekod, kedai kopi popular itu pernah beberapa kali dikenakan tindakan termasuk kompaun sebelum ini kerana masalah kebersihan. Selain kedai kopi berkenaan, lima lagi restoran dan kedai makan daripada keseluruhan 39 premis yang diperiksa oleh 106 pegawai dan penguatkuasa JKNT dalam operasi itu turut diarah tutup selama dua minggu mengikut akta sama, manakala satu lagi diarah tutup mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. – BH Online