Input your search keywords and press Enter.

Dua Wanita Dihukum Mati Kerana Dadah

M Update, 31/10/2019 – Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas dua wanita atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin dan morfin seberat 294.9 gram, tiga tahun lalu.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan kedua-dua tertuduh Zawani Zulkifli, 33, dan Nur Zahirah Yusoff, 32, gagal mewujudkan keraguan munasabah terhadap kes di akhir pembelaan.

Akhtar berkata, selain keputusan dibuat mengikut peruntukan undang-undang, mahkamah juga mengambil kira jenis dadah heroin dan morfin yang disabitkan ke atas tertuduh. Selain itu, tiada keterangan menunjukkan kedua-dua tertuduh secara sukarela membantu dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah,” katanya ketika membacakan keputusan kes.

Terdahulu, pada 1 Oktober kedua-dua tertuduh diarah membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh. Zawani dan Nur Zahirah yang bekerja sebagai jurujual itu memilih untuk memberi keterangan bersumpah di kandang saksi didakwa bersama-sama mengedar 212.7 gram heroin dan 82.2 gram monaacetylmorphines di kediaman di Park View Tower, Jalan Harbour Place Off Jalan Assumption, Seberang Perai Utara pada jam 4. 45 petang, 18 Disember 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yasinnisa Begam Seeni Mohideen manakala Zawani diwakili peguam V Parthipan dan Nur Zahirah diwakili peguam Simon Murali. – HM Online

Leave a Reply