Input your search keywords and press Enter.

Penubuhan Kedutaan Malaysia Di Amman Dibuka Secepat Mungkin

Saifuddin Abdullah bercakap kepada pemberita pada sidang Dewan Rakyat pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen. – Foto BERNAMA

M Update, 31/10/2019 – Penubuhan Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan untuk Palestin dan isyarat membantah langkah Israel memindahkan ibu kotanya di Baitulmaqdis akan dibuka secepat mungkin.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata usaha kini terarah kepada kerja mengumpulkan maklumat penting untuk melaksanakan keputusan yang diisytiharkan Malaysia pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18.

Menerusi rangkaian hubungan dan rundingan bersama Kementerian Luar Jordan, Malaysia turut giat meneliti selok belok proses menubuhkan kedutaan di daerah utara Jordan itu.

“Kita memang ada Kedutaan Malaysia di Jordan, tetapi pilih Amman kerana tiada hubungan diplomatik dengan Israel sekiranya ingin menempatkan kedutaan di Ramallah, iaitu di Tebing Barat.

“Bagi tempoh masa dan sejauh mana ia akan dapat diselesaikan, saya hanya boleh cakap kita nak buka (kedutaan di Amman) secepat mungkin,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) berhubung butiran perancangan membuka Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan.

Menjawab soalan tambahan Reezal Merican membabitkan pertimbangan Malaysia untuk membuka Konsulat Kehormat supaya memudahkan aspek penyaluran bantuan kepada rakyat Palestin, Saifuddin menyifatkan cadangan itu adalah baik.

Bagaimanapun, demografi pentadbiran Palestin bakal mengundang sedikit kesulitan kerana langkah menubuhkan Konsulat Kehormat seperti dilaksanakan Indonesia bagi tujuan sama harus bersifat adil terhadap pihak berkepentingan di Palestin.

“Ada dua pihak besar, justeru kita kena buka dua (Konsulat Kehormat), bukan satu supaya menyantuni kedua-dua pihak, justeru langkah terbaik ialah memberi laluan proses pilihan raya umum Palestin,” katanya.

Leave a Reply