Input your search keywords and press Enter.

Pertukaran Lesen Memandu Malaysia Bermula Esok

M Update, 31/10/2019 – Rakyat Malaysia dan peserta program Malaysia My Second Home (MM2H) yang memiliki lesen memandu luar negara boleh menukar kepada lesen memandu Malaysia bermula esok.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata syarat pertukaran itu memerlukan lesen memandu negara asal yang dimiliki individu berkenaan adalah masih sah dan berkuatkuasa.

“Lesen memandu yang dimaksudkan adalah lesen memandu penuh dan tidak termasuk lesen belajar memandu, lesen sementara atau lesen percubaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Shaharuddin berkata urusan permohonan pertukaran itu hanya boleh dilakukan di ibu pejabat JPJ dan pejabat JPJ negeri-negeri.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata, lesen memandu negara asal individu itu akan ditukarkan kepada lesen percubaan (Lesen P) Malaysia dan mereka diwajibkan memenuhi semua syarat yang dikenakan kepada pemegang Lesen P yang lain. Ini bagi memastikan individu berkenaan benar-benar mempunyai kompetensi memandu dan mendidik pemandu untuk mematuhi semua peraturan jalan raya negara ini,” katanya.

Bagi peserta MM2H atau warganegara yang memperolehi lesen memandu dari negara bukan penjanji kepada Konvensyen 1949, bukan dari negara ASEAN dan tiada mempunyai Mutual Recognition Agreement (MRA) dengan Malaysia, mereka akan diwajibkan menduduki kelas dan ujian teori undang-undang sahaja.

“Perkara ini perlu bagi memastikan tahap pemahaman ke atas undang-undang dan peraturan jalan raya negara ini yang mungkin berbeza dengan negara asal lesen dikeluarkan,” katanya.

Bagi peserta MM2H, Shaharuddin berkata lesen memandu akan dibatalkan sekiranya mereka melanggar mana-mana syarat program dan telah dibatalkan daripada program MM2H. Mengenai pengiktirafan lesen memandu negara asing, beliau berkata ia adalah yang mempunyai triti atau perjanjian dengan Malaysia iaitu sama ada menerusi perjanjian Konvensyen 1949, Perjanjian Negara-negara Asean 1985 dan yang menandatangani MRA.

“Tiada sebarang pertukaran lesen memandu negara Malaysia diperlukan,” katanya.

Beliau berkata warganegara dari negara yang mempunyai triti dengan Malaysia dibenarkan memandu menggunakan lesen memandu negara itu selagi lesen memandu asalnya masih sah tempoh laku serta bukan lesen memandu percubaan, lesen sementara atau lesen memandu pelajar. Shaharuddin berkata penggunaan Permit Memandu Antarabangsa (IDP) akan diwajibkan terutama apabila lesen memandu negara itu tidak mempunyai terjemahan dalam Bahasa Inggeris. – BERNAMA

Leave a Reply