M Update, 11/11/2019 – Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dibenarkan pulang selepas seminggu dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Beliau mendaftar keluar pada 12 tengah hari ini selepas memperoleh kebenaran doktor susulan kecederaan akibat terjatuh basikal yang dialami pada 5 November lalu. Kenalan rapat UAI yang ingin dikenali sebagai Man berkata, keadaan penceramah itu bertambah baik dan dibenarkan untuk berehat di rumahnya.
“Beliau (UAI) ada memberitahu saya bahawa sudah tidak sabar untuk kembali memberi kuliah di masjid dan surau seperti biasa. Biasalah, selama ini UAI tidak pernah berehat panjang daripada memberi ceramah, tetapi apabila ditimpa ujian ini, UAI memerlukan masa yang lama untuk berehat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bercerita mengenai gambar UAI bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K yang tular di media sosial, Man memberitahu suami kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza meluangkan masa melawat UAI pada Sabtu lalu. Datuk K sudah lama berhasrat melawat UAI sejak beliau dimasukkan ke hospital, cuma pada Sabtu lalu dia ada kesempatan.
“Namun, kehadirannya tidak disertai Datuk Siti Nurhaliza. Terkejut juga saya ketika kemunculan Datuk K dan rakannya di wad tempoh hari, malah dia beritahu dia ada urusan di Kemaman dan sempat singgah ke HSNZ untuk melawat ustaz,” katanya.
Menurutnya lagi, Ustaz Azhar memerlukan sebulan untuk pulih sepenuhnya sebelum kembali berceramah dan berharap pengikutnya bersabar serta memberi ruang untuk penceramah itu berehat di rumah. Katanya, dia juga tidak berhasrat mendedahkan lokasi rumah UAI berehat kerana dibimbangi mengganggu Ustaz Azhar.
“Apabila UAI sihat sepenuhnya nanti, UAI sendiri yang akan datang ke tempat mereka untuk memberi ceramah. Oleh itu, kami harap peminat UAI bersabar dan memahami situasi beliau sekarang,” katanya.
Sumber : HM Online