Input your search keywords and press Enter.

22 Penduduk Palestin Terbunuh Dalam Serangan Israel

Tiga jenazah korban serangan Israel disembahyangkan oleh penduduk Palestin sebelum dikebumikan di Gaza, Foto Agensi

M Update, 14/11/2019 – Sekurang-kurangnya 22 penduduk Palestin terbunuh manakala puluhan lagi cedera akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak kelmarin, dengan sebahagian besarnya orang awam.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin, jumlah korban semalam, lebih 15 orang, semuanya orang awam akibat serangan udara Israel yang membalas ratusan bedilan roket Palestin selepas komander tentera Islamic Jihad, Baha Abu Al-Atta, kelmarin.

Menurut laporan Middle East Eye (MEE), Israel meningkatkan jumlah tenteranya sepanjang sempadan Gaza dengan mengerah lebih ramai anggota pasukan simpanan, termasuk anggota unit pertahanan peluru berpandu Iron Dome.

Portal berita Israel, Ynet, melaporkan turut dikerah perisikan tentera dan Ketumbukan Pertahanan Dalam Negara yang biasanya digerakkan ketika ‘krisis perang.’

Menurut tentera Israel kira-kira 200 roket dibedil dari Gaza ke wilayah Israel sejak kelmarin dan 90 peratus daripadanya berjaya dipintas Iron Dome.

Kenyataan tentera Israel itu tidak menyatakan mengenai kematian, kecederaan atau kemusnahan di pihak Israel.

Setakat ini, Hamas yang mentadbir Gaza masih tidak campur tangan, tidak menyertai Islamic Jihad, kumpulan kedua terbesar di Gaza, melancarkan serangan terhadap Israel.

Kelmarin, Israel melancarkan serangan udara menggunakan peluru berpandu terhadap rumah al-Atta, 42, di Gaza menyebabkan komander tentera Islamic Jihad itu terbunuh bersama isterinya.

Menurut kenyataan tentera Israel, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu meluluskan serangan terhadap al-Atta yang dipersalahkan terhadap serangan roket, dron dan penembak hendap terhadap Israel serta cuba menyusup masuk ke negara itu.

Tidak lama selepas serangan itu, sehingga 50 bedilan roket menghujani wilayah Israel dan serangan roket itu berterusan hingga semalam.

Leave a Reply