M Update, 28/11/2019 – Inkues mengenai kejadian tiga lelaki ditembak mati polis di Batu Arang, Rawang, 21 September lalu, akan bermula di Mahkamah Koroner Shah Alam pada 13 Disember depan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, semua pihak termasuk pegawai dan anggota polis terbabit dalam kejadian akan dipanggil dalam inkues berkenaan. Sementara itu, mengulas mengenai kehilangan wanita yang juga isteri kepada salah seorang suspek tembak, Fadzil berkata, pihaknya masih membuka kertas siasatan orang hilang.
“Kita memerlukan maklumat orang ramai jika ada berita baharu untuk membolehkan polis mencari mangsa yang dikatakan hilang. Buat masa ini, kita masih membuka kertas siasatan orang hilang terhadap wanita itu,” katanya pada sidang media Pelupusan Barang Kes Perjudian di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, hari ini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata, maut dalam kejadian berbalas tembak di Kilometer 22, Jalan Rawang menghala Batu Arang. Dua individu ditembak mati itu adalah anggota kumpulan kongsi gelap 08 manakala hasil semakan menunjukkan seorang lagi mempunyai rekod pemutihan Jabatan Imigresen pada 2013.
Sementara itu, seorang wanita, G Moganambal, 35, dilaporkan hilang selepas kejadian itu dan masih belum ditemui sehingga kini. – HM Online