Hedonisme ialah pegangan atau pandangan hidup seseorang yang hanya mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. Secara konstektual budaya ini membawa maksud gaya hidup yang hanya mengejar keseronokan semata-mata manakala secara dasarnya ia merupakan satu kefahaman yang hanya mementingkan keseronokan dan kemewahan tanpa mengambil kira batas-batas moral dan larangan agama.
Hedonisme adalah satu bentuk pemikiran yang berpandangan bahawa memaksimumkan keseronokan adalah perkara terbaik dan paling dihormati dalam kehidupan manusia di dunia ini. Penyebaran budaya hedonisme adalah ancaman dan boleh menyebabkan kerosakan terutama kepada remaja jika ianya tidak dikawal dari sekarang.
Penularan budaya hedonisme merupakan satu ancaman serta ideologi barat yang sedang menular dan mampu menjadi barah khusunya kepada golongan remaja jika tidak dibendung dari sekarang. Justeru komponen akidah iaitu Iman, Islam dan Ihsan dalam diri remaja perlu ditekankan khususnya dalam pendidikan Islam bagi menghadapi dunia globalisasi tanpa sempadan ini. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam sepenuhnya (dengan mematuhi segala hukum-hakamnya).”
(Surah Al-Baqarah [2]:208)
Oleh kerana golongan remaja yang sedang mencari identiti dan jati diri sebagai seorang muslim maka mereka menjadi sasaran ancaman budaya songsang dan mudah menyerap jika tidak dibenteng dengan asas keimanan. Ini selaras dengan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu mengambil orangorang yang bukan dari kalangan kamu menjadi orang dalam (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya”.
(Surah Al-Imran 03:118)
Menurut ayat ini, jelas bahawa musuh-musuh Islam tidak akan berhenti untuk mempengaruhi umat Islam selagi mana mereka berpegang teguh keimanan kepada Allah SWT. Jiwa remaja sememangnya subur dan hiburan merupakan fitrah dalam diri manusia. Remaja yang berhibur akan lebih tenang, yakin dan ceria. Hiburan yang diperlukan oleh remaja menurut Sidek Baba13 ialah hiburan yang meningkatkan rasa hati terhadap perkara-perkara yang meransang jiwa ke arah kebaikan di samping membentuk minat dan keinginan melakukan hal-hal yang makruf dalam kehidupan.
Justeru, daripada penyataan tersebut dapat disimpulkan bahawa ancaman hedonisme telah lama dilakukan oleh musuh-musuh Islam dan menjadikan remaja sebagai sasaran. Oleh itu remaja perlu bersedia menghadapi ancaman dalam era globalisasi dunia tanpa sempadan ini khususnya melalui serangan yang bercanggah dengan akidah umat Islam. Hiburan merupakan fitrah tetapi perlu dibatasi dengan ajaran agama agar selaras dengan kehendak nilai, budaya dan tatatusila yang murni serta tidak terkeluar daripada landasan yang betul