Input your search keywords and press Enter.

Wisma Putra : 16 Kru Kapal Tangki Ditahan Bukan Rakyat Malaysia

Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Luar.

M Update, 02/01/2020 – Kementerian Luar mengesahkan 16 kru sebuah kapal tangki yang ditahan di perairan Selat Hormuz, Iran, pada Isnin lalu bukan rakyat Malaysia.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata kapal tangki itu juga bukan milik Malaysia dan siasatan mendapati bendera dikibarkan di atas kapal itu adalah milik Panama.

Katanya, kapal First Lady yang ditahan di kawasan Pulau Abu Musa itu juga tidak didaftarkan di negara ini.

“Kita sudah berhubung dengan kedutaan kita di Tehran dan Kementerian Luar Iran, malah semalam saya dimaklumkan kru serta kapal terbabit bukan milik Malaysia.

“Mungkin ada kapal didaftarkan di Malaysia, tetapi memasang bendera negara lain. Bagaimanapun, dalam kes ini kapal terbabit tidak didaftarkan di Malaysia dan pemiliknya juga bukan dari negara ini,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada 20 pelajar Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Indera Mahkota di sini, hari ini.

Mengulas urusan membawa pulang jenazah Mohammad Farhan Fudhail Mohammad Farid, 16, yang maut ketika bermain papan selaju di Townsville, Queensland, Australia pada Ahad lalu, beliau berkata, pihaknya sedang menunggu laporan koroner.

“Wakil Malaysia di sana sudah berhubung dengan ibu Allahyarham dan setakat ini, kita sedang berusaha membawa keluar jenazah daripada hospital memandangkan ada keperluan pemeriksaan dilakukan pihak hospital.

“Walaupun pihak keluarga tidak mahu melakukan bedah siasat, tetapi laporan koroner perlu dilakukan dan sepatutnya keputusan itu sudah diketahui hari ini,” katanya.

Saifuddin berkata, pihak syarikat Malaysia Airlines (MAS) turut menyediakan tiket penerbangan bagi membantu keluarga mangsa dan MAS Kargo juga bersetuju membawa balik jenazah ke Kuantan.

“MAS melakukan empat kali penerbangan seminggu ke Queensland. Jadi, tidak ada masalah membawa pulang jenazah, cuma kita masih menunggu laporan pihak hospital di sana,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang bagi menyediakan perangkap monyet dan beruk untuk enam sekolah di kawasan Indera Mahkota.

Katanya, ini kerana sekolah terbabit berdepan masalah gangguan haiwan liar itu yang berkeliaran dalam kawasan sekolah berikutan lokasinya berhampiran hutan.

Leave a Reply