M Update, 15/1/2020 – Sikap sesetengah individu yang lebih suka membaca dan mempercayai berita berbentuk sensasi di laman sosial tanpa memastikan kesahihan dan kebenarannya, menjadi antara punca perpaduan antara kaum di negara ini kian rapuh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P Waytha Moorthy berkata, lebih memburukkan keadaan apabila kebebasan bersuara yang diberikan kerajaan disalah guna dengan menyebar perkara-perkara tidak benar sehingga menimbulkan salah faham dan ketegangan antara kaum.
“Bukan sahaja di negara kita tetapi di seluruh dunia, media sosial menjadi medium utama yang menyebar berita termasuklah berita palsu dan tidak tepat. Dahulu media dikawal oleh golongan tertentu tetapi sekarang informasi tiada batas, sehingga ada segelintir rakyat berpendirian mereka punya kuasa menyebar ideologi dan pendapat sendiri.
“Mereka juga kurang membaca surat khabar, kurang baca berita sahih, malah kurang membaca buku sebaliknya lebih suka kepada berita yang sensasi dan apabila kagum dengan cerita berkenaan, ia akan ditularkan dan tersebar dalam sekelip mata,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama di pejabatnya di sini.
Katanya, golongan seperti itu tidak kisah sama ada berita itu benar atau tidak, malah tidak ingin mengambil tahu pun tentang kebenaran perkara itu kerana mereka lebih gembira dan berminat apabila mengetahui berita sensasi itu diterima oleh netizen.
Waytha Moorthy berkata, terdapat sesetengah isu yang dibangkitkan di media sosial telah menggugat keharmonian yang dikecapi negara selama ini, malah ia menjadi antara cabaran utama kerajaan Pakatan Harapan dan pihaknya terpaksa mengambil langkah berhati-hati untuk menyelesaikan setiap masalah yang timbul dengan mempertimbangkan kepentingan semua pihak ibarat menarik rambut dalam tepung.
Namun beliau berkata, apa yang menyedihkan apabila pemimpin-pemimpin kerajaan terdahulu dilihat sengaja membangkitkan isu-isu tertentu bagi menaikkan kemarahan rakyat kepada kerajaan semasa dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini demi kelangsungan politik mereka.
“Sehubungan itu menjadi tanggungjawab rakyat untuk kekal fokus dan kekal hidup sebagai rakyat yang mengamalkan kepelbagaian dalam masyarakat majmuk. Kita kena hidup dengan saling menerima dan selagi kita fokus, kita mampu menerima apa yang telah diamalkan sebelum ini,” katanya.
Isu berkaitan penyalahgunaan media sosial ini turut dibangkitkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes pada Selasa lepas apabila menyifatkan terlalu banyak perkara negatif, kepalsuan dan kemarahan di platform itu ketika ini menyebabkan beliau mengambil keputusan untuk menutup akaun Twitternya.
Mengulas lanjut tentang soal perpaduan, Waytha Moorthy berkata, rakyat khususnya di Semenanjung perlu mencontohi hubungan akrab serta toleransi antara pelbagai suku kaum di Sabah dan Sarawak, membolehkan mereka hidup dengan harmoni tanpa syak wasangka. Hasil lawatan yang dilakukan di dua negeri itu, beliau sendiri kagum dengan persefahaman dan sifat saling menghormati terhadap amalan agama dan kepelbagaian budaya yang ditunjukkan antara masyarakat di negeri-negeri itu.
Pada masa yang sama katanya, untuk meningkat dan mengukuhkan lagi integrasi nasional antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, kerajaan akan mengambil kira pandangan daripada pemimpin dan wakil rakyat daripada dua negeri itu sebelum membuat sesuatu dasar baharu.
Dalam menyelesaikan isu-isu perkauman dan agama katanya, pihaknya bercadang untuk mewujudkan satu suruhanjaya khas dikenali Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi yang akan dianggotai oleh tokoh-tokoh masyarakat yang dihormati. Katanya, suruhanjaya itu akan bertindak sebagai badan pendamai dan penyelesai sebarang hal-hal sensitif berkaitan perkauman atau agama yang dibangkitkan termasuk menerusi media sosial, sama ada oleh perseorangan atau organisasi.
“Perkara ini masih lagi dalam peringkat cadangan dan saya sedang mengkaji praktikalnya menggunakan perundangan sedia termasuk Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan untuk selesaikan isu-isu berkaitan termasuk menghina kaum dan agama lain menerusi laman sosial.
“Ini kerana saya dapati ada dalam kalangan mereka yang tidak menyedari apa yang ditulis itu menyinggung perasaan penganut dan agama lain dan dalam soal ini suruhanjaya berkenaan akan bertindak memanggil pihak yang berkenaan untuk mereka memberi keterangan berhubung tingkah laku itu,” katanya.
Beliau berkata, suruhanjaya itu akan menjadi satu badan bebas yang bertindak menasihati mereka untuk meminta maaf sambil memberi kefahaman perkara-perkara yang seharusnya tidak disentuh serta makluman tentang budaya kaum lain. – Bernama