Input your search keywords and press Enter.

CRS : Tiada Tindakan Pengguna Pasang Tak Ikut Piawaian

M update, 16/1/2020 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan mengambil tindakan atau menyaman orang ramai yang masih menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang tidak mengikut piawaian ditetapkan.

Sebaliknya, tindakan bakal diambil terhadap pengimport atau pengeluar yang didapati menjual atau mengedar CRS tidak menepati piawaian dan syarat ditetapkan kerajaan, mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata orang ramai tidak perlu bimbang jika mereka masih menggunakan CRS yang dibeli sebelum 1 Januari lalu yang didapati tidak menepati piawaian ditetapkan.

“Penguatkuasaan CRS bermula bulan ini, jadi kita mengambil pendekatan praktikal membenarkan kerusi dibeli sebelum ini boleh terus digunakan.

“Jika kita mengatakan kerusi yang tiada pensijilan tidak boleh digunakan lagi, ia akan mendatangkan beban kepada pengguna (yang sudah membelinya),” katanya selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Operasi Bersepadu sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah utara Lebuh Raya Utara Selatan, di sini, hari ini.

Loke berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna (KPDNHEP) bagi memastikan pengimport atau pengeluar produk berkenaan memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.

Justeru, orang ramai yang masih belum membeli kerusi berkenaan dinasihat melakukan pemeriksaan sama ada produk berkenaan mempunyai pelekat pengesahan piawaian dan Kod QR ditetapkan.

Garis panduan ditetapkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sebelum ini menjelaskan agensi itu akan mengeluarkan pelabelan Kod QR terhadap CRS yang dijual di negara ini selepas berpuas hati dengan ciri keselamatannya. – BH Online

Leave a Reply