M Update, 17/1/2020 – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mewajibkan penggunaan serai sebagai penyedut minuman di kafe dan kantin hospital, kata Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya menyerahkan perkara itu kepada operator kantin dan kafe jika mendapati ia praktikal serta ekonomi.
“Sekarang ada banyak pilihan penyedut minuman, ada diperbuat daripada jagung dan kertas, jadi ada banyak pilihan. Kementerian tidak buat mikro pengurusan (wajib gunakan serai) macam ini, itu terpulang kepada operator kantin dan kafe.
“Bagaimanapun, ini cadangan yang baik jika ia tidak membebankan dari segi kos kepada operator kantin dan kafe serta ia praktikal, amat digalakkan,” katanya selepas melawat Klinik Kesihatan Bijih Timah di Jalan Sultan Yusof, di sini, hari ini.
Rabu lalu media melaporkan, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Husam Musa mengumumkan serai akan digunakan sebagai penyedut minuman yang akan diperluaskan ke kafe hospital termasuk kepada pesakit bagi menggantikan plastik.
Husam berkata, penggunaan serai sebagai penyedut minuman adalah sesuatu yang baharu dan sebagai permulaan, beliau mewajibkan penggunaannya di semua kafe KADA. – BERNAMA