Input your search keywords and press Enter.

Coronavirus : SKMM Tahan Individu Sebar Berita Palsu

M Update, 29/1/2020 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang suspek yang disyaki menyebarkan berita palsu mengenai virus coronavirus (2019-nCov), semalam.

SKMM menerusi satu kenyataan memaklumkan, suspek berusia 34 tahun itu ditahan di kediamannya di Bangi pada jam 4 petang bagi membantu siasatan terhadap satu status dimuat naik di laman Facebook pada 26 Januari lalu.

“Kandungan yang dimuat naik mengenai wabak coronavirus (2019-nCov) itu didapati palsu, turut dirampas telefon bimbit milik suspek dan kad sim yang digunakan untuk memuat naik kandungan terbabit.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya hari ini.

SKMM menjelaskan, tindakan tegas itu adalah satu usaha pihaknya bersama PDRM untuk mengawal penyebaran berita tidak sahih mengenai 2019-nCov oleh individu tidak bertanggung jawab sehingga mampu menggugat kestabilan negara dan ketenteraman awam.

“SKMM dan PDRM kini giat mengesan tiga lagi suspek bagi membantu siasatan,” katanya.

Pada 27 Januari lalu, SKMM dan PDRM mengenal pasti empat individu untuk membantu siasatan penyebaran berita palsu berkaitan dengan 2019-nCoV.

Dalam satu kenyataan bersama kepada media, PDRM dan SKMM menegaskan pihak mereka akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita yang tidak sahih mengenai penularan 2019-nCoV di Malaysia. – BH Online

Leave a Reply