Input your search keywords and press Enter.

Hukuman Lebih Berat Bagi Pemandu Mabuk

M Update, 30/1/2020 – Kabinet bersetuju untuk meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, pengaruh dadah serta memandu secara bahaya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata akta sedia ada akan dipinda untuk memberi hukuman lebih berat dan setimpal kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, cadangan itu akan dibincangkan bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) bagi membincangkan dari sudut perundangan.

“Kajian itu akan mengambil masa beberapa bulan dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada seisi kedua pada Jun atau Julai ini,” katanya.

Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan Seksyen 41 Akta 333 pula memperuntukkan mana-mana individu yang didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya hendaklah dihukum penjara untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun selain dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Aktai Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan. Loke berkata, peruntukan undang-undang lain yang akan dikaji semula termasuk had ditetapkan kandungan alkohol dalam darah pemandu.

Menurut beliau, ketika ini undang-undang semasa membenarkan sehingga 80mg alkohol dalam 100ml darah manakala had antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah 50mg dalam 100ml darah.

“Perkara ini perlu dikaji semula dan jika mereka yang didapati memandu dalam keadaan mabuk melebihi jumlah yang dibenarkan sehingga menyebabkan kematian boleh dikenakan hukuman lebih berat.

“Kita juga akan mengkaji semula peruntukan bagi memastikan pemandu yang didapati bersalah memandu secara tidak berhemah akan menerima hukuman yang lebih sesuai”.

“Kementerian juga akan mempertingkat kempen terhadap pemanduan mabuk dengan mengarahkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk meningkatkan kempen” Jangan Minum dan Memandu ” bagi mengingatkan orang ramai supaya tidak memandu ketika mabuk,” katanya. – BH Online

Leave a Reply