Input your search keywords and press Enter.

Mufti : ‘Transgender Wajib Tunai Umrah Ikut Jantina Asal’

M Update, 4/2/2020 – “WAJIB bagi seorang transgender (mukhannas) menunaikan umrah dengan jantina asalnya,” kata Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Beliau mengulas isu Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang berpakaian seperti wanita ketika menunaikan umrah di Makkah. Menurutnya, perbuatan mengenakan pakaian bukan mengikut jantina asal tetap haram dan dikira berdosa walaupun mematuhi rukun umrah.

“Malah, beliau boleh dikenakan dam kerana melanggar wajib umrah. Masalah ini disebut oleh fuqaha sebagai infikak al-jihah (hukum yang terpecah kepada beberapa bahagian),” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-28 Musim Haji 1433H menerusi kertas kerja bertajuk Khunsa Dan Mukhannas Dalam Permasalahan Ibadat Haji, muzakarah menyimpulkan bahawa bagi mukhannas semula jadi atau yang disengajakan supaya mengikut hukum asal kejadian dirinya.

“Dalam konteks isu ini, Muhammad Sajjad wajib secara syarak sebagaimana yang termaktub dalam al-Qur’an dan Hadith untuk beribadah dan berpakaian seperti lelaki,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) tidak pernah terbabit dalam pengesahan identiti Muhammad Sajjad yang diuruskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2018. Katanya, pengesahan jantina membabitkan pakar perubatan dan ia berada di bawah urusan pihak JAKIM.

“Hanya atas dasar amanah dan tanggungjawab maka, PMWP mengambil inisiatif bertemu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam bagi mendapatkan pengesahan butiran lengkap beliau yang tersebar di media sosial.

“Berdasarkan maklumat pengesahan daftar kad pengenalan penama yang diperoleh melalui JPN, nama yang tertera adalah Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman. Jantina penama didaftarkan sebagai lelaki. Semakan lanjut pada sijil kelahiran beliau juga mendapati penama dilahirkan sebagai lelaki,” katanya.

Zulkifli berkata, sehingga kini, tidak ada dokumen rasmi perubatan yang dikemukakan oleh Muhammad Sajjad bagi membuktikan beliau adalah wanita.

“Berdasarkan Arahan Jabatan Pendaftaran Negara Bil. 9/2007 perenggan 5.7.1, pindaan jantina dalam kad pengenalan adalah tidak dibenarkan kecuali atas perintah mahkamah. Selain itu, agensi pengelola umrah wajib bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, mereka hendaklah memelihara dan membimbing jemaah supaya mengikut hukum syarak dan undang-undang setempat dan sentiasa memberi panduan serta peringatan kepada jemaah agar menepati kehendak ibadat itu sendiri. – HM Online

Leave a Reply