Input your search keywords and press Enter.

COVID-19 Di Malaysia Masih Terkawal – Dr Dzulkefly

M Update, 13/2/2020 – Penilaian Kementerian Kesihatan terhadap situasi jangkitan coronavirus baharu (COVID-19) di negara ini mendapati ia masih dalam kawalan dan berada pada tahap pembendungan awal.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kementerian juga bersedia dan terus memperkukuhkan kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan memasuki fasa seterusnya iaitu tahap pembendungan akhir dan tahap mitigasi. Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Bagi Rantau Pasifik Barat, Dr Takeshi Kasai, semalam yang menasihati Malaysia untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya penyebaran virus yang lebih luas

Dr Dzulkefly berkata, kenyataan WHO bahawa jangkitan COVID-19 akan berleluasa perlu dilihat dalam konteks sewajarnya kerana Malaysia belum lagi sampai ke peringkat itu. Katanya, keseluruhan episod jangkitan COVID-19 ditangani dengan baik oleh Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bagaimanapun, katanya, kenyataan Dr Takeshi itu mungkin menyebabkan berlakunya kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Beliau bercakap pada sidang media mengenai situasi terkini jangkitan COVID-19 dan pengesanan kes baharu di Malaysia, di kementeriannya semalam. Yang turut hadir, Timbalannya, Dr Lee Boon Chye dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Dzulkefly berkata kerajaan akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memberikan komitmen dalam menangani penularan COVID-19.

“Selain itu, kerajaan juga akan terus mempertingkatkan hubungan kerjasama antara negara-negara ASEAN dan peringkat antarabangsa bagi memastikan penularan wabak ini dapat ditangani secara bersepadu membabitkan rentas sempadan,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply