Rukunegara yang kedua mencerminkan peri pentingnya seluruh rakyat Malaysia memberi sepenuh kesetiaan kepada dua entiti utama negara kita – Institusi Raja dan Persekutuan Malaysia. Mengapakan pemberian kesetiaan kepada Institusi Raja ini sangat penting kepada negara kita? Ini kerana terdirinya Malaysia ini adalah dari tercetusnya jiwa besar Raja dan Sultan di negeri-negeri Melayu yang bersepakat agar sebuah negara bebas merdeka yang berlandaskan demokrasi dapat diwujudkan dan seterusnya berkembang menjadi sebuah persekutuan yang membentuk negara Malaysia. Maka Raja Berpelembagaan merupakan manifestasi betapa Institusi Raja di Malaysia meletakkan negara dan rakyat sebagai perkara yang di dahulukan sejak tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu dan berkembang mekar sehingga terbentuknya Malaysia. Walaupun Institusi Raja di Malaysia berteraskan Sembilan Sultan dan Raja Melayu, namun setiap rakyat jelata tanpa mengira latarbelakang kaum dan agama adalah menjadi perhatian dan keutamaan tanpa berbelah bahagi.
Kesetiaan kepada Raja dan Negara merupakan suatu pernyataan yang sangat besar ertinya kepada seluruh Rakyat Malaysia. Ia adalah penzahiran rasa cinta, rasa sayang, rasa hormat dan semangat untuk meletakkan negara mendahului apa jua perkara melangkaui perbezaan sempadan kenegerian, agama, bangsa, suku kaum dan kecenderungan ideologi politik serta agenda peribadi. Agenda negara mencerminkan agenda rakyat. Kepentingan negara mencerminkan kepentingan rakyat. Kesejahteraan negara mencerminkan kesejahteraan rakyat. Justeru semangat cintakan negara membawa erti semangat yang cintakan rakyat. Di sinilah telah acap kali terbukti dan di zahirkan Institusi Raja di Malaysia sentiasa meletakkan negara dan rakyat di hadapan. Rakyat Malaysia sangat bertuah kerana baik di waktu susah mahupun di waktu senang, Institusi Raja di Malaysia sentiasa ada bersama-sama untuk mengharungi suka dan duka.
Perlembagaan Persekutuan Malaysia memberi jaminan kepada Rakyat akan kebebasan memilih kerajaan yang menguruskan negara melalui sistem pilihanraya. Ini adalah teras kepada proses demokrasi yang telah berjalan baik sejak sekian lama. Institusi Raja di Malaysia berperanan besar memastikan kelangsungan sistem demokrasi ini berlansung dengan lancar demi menjaga kepentingan negara dan rakyat. Tiada campur tangan institusi ini dalam mencorak senario politik negara mencerminkan kematangan keseluruhan sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia. Kuasa mutlak adalah di tangan rakyat. Perwakilan-perwakilan yang mengisi Dewan Rakyat di peringkat Persekutuan mahupun Dewan-dewan Undangan Negeri diberi mandat oleh rakyat. Wakil Rakyat adalah penerima mandat rakyat yang perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Kepentingan rakyat adalah kepentingan negara. Wakil-wakil rakyat yang melaksana tugas dan amanah dengan baik sentiasa diraikan dan dihormati. Namun sekiranya perwakilan-perwakilan ini tergelincir tindak tanduknya dari melaksana amanah dan mandat sepanjang tempoh diberikan, maka sudah semesti rakyat akan merasa tidak selesa, hilang kepercayaan dan terhakis rasa hormat. Justeru apa juga tindak-tanduk wakil-wakil dipilih rakyat ini serta parti politik yang mereka wakili akan sentiasa di nilai oleh rakyat. Penilaian ini dizahirkan melalui proses pilihanraya. Inilah amalan politik matang melalui sistem demokrasi yang menjadi teras kepada Malaysia.
Justeru apabila berlaku suasana ketidaktentuan politik dalam negara yang menimbulkan keresahan kepada rakyat, maka di sinilah Institusi Raja di Malaysia memainkan peranannya untuk memastikan kepentingan negara dan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara. Pada ketika berlaku ketidaktentuan dalam negara, rakyat mampu menaruh harapan dan keyakinan kepada Institusi ini menjadi benteng kepada rakyat. Di kala ahli politik dan parti masing-masing mencatur tindakan dan strategi untuk berkuasa, kecenderungan meletakkan negara dan rakyat sebagai keutamaan adalah suatu perihal subjektif yang boleh diperdebatkan. Namun, pada sebilang masa keutamaan kepada negara dan rakyat akan sentiasa kekal menjadi keutamaan oleh Institusi Raja. Istana sentiasa sedar bahawa mereka memayungi rakyat dan bertanggungjawab kepada kesejahteraan rakyat jelata tanpa mengira latar belakang politik, bangsa dan agama. Justeru rakyat menaruh kepercayaan yang tinggi kepada Institusi Raja agar di dalam apa jua ketidak tentuan senario politik negara, kepentingan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga. Kepentingan rakyat adalah kepentingan negara. Kepentingan negara melangkaui kepentingan individu dan parti politik. Dan Institusi Raja di Malaysia sentiada meletakkan kepentingan negara dan kepentingan rakyat sentiasa di hadapan.
Taat setia rakyat kepada Institusi Raja di Malaysia ini sentiasa di balas dengan jiwa besar pihak Istana yang mengutamakan negara dan rakyat dalam mencari jalan keluar diatas ketidak tentuan yang berlaku. Institusi Raja sentiasa ada untuk berperanan sebagai penimbang tara yang bebas, adil dan mengambil pendekatan menyeluruh untuk memastikan kepentingan negara dan rakyat terjamin. Yakinnya rakyat kepada Institusi Raja di Malaysia mencerminkan kepercayaan dan kesetiaan penuh mereka kepada Raja dan Negara. Institusi yang dipandang tinggi ini mampu menjadi sinar yang memberi halatuju dalam kegelapan. Institusi yang berpandangan jauh ini mampu merungkai kemelut yang tersimpul mati. Institusi yang berintegriti ini mampu menjadi timbang tara untuk meletakkan keadilan di tempatnya. Institusi yang dihormati ini mampu menamatkan kemelut dan kebuntuan. Ini semua boleh berlaku dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Institusi Raja di Malaysia ini sebagai teras penting negara. Ini lah istimewa dan uniknya Malaysia yang tiada sebanding dengan negara lain. Demokrasi di raikan, Institusi Raja dihormati dan rakyat diutamakan. Keistimewaan ini lah yang menjadikan Malaysia sentiasa mampu berhadapan dengan sebarang gelora ujian dan bangkit kembali. Sesungguhnya Institusi Raja di Malaysia ini memayungi seluruh rakyat jelata sama ada di Sandakan, Jasin, Cheras, Bukit Mertajam, Sibu, Labuan, Temerloh mahupun di mana kita rakyat Malaysia berada. Tiada yang mustahil apabila seluruh rakyat jelata bergerak seiringan dengan Institusi Raja untuk membawa Malaysia menghadapi apa jua cabaran yang mendatang.
Dekatnya Institusi Raja ini di hati rakyat Malaysia kerana telah terbukti kematangan, kebijaksanaan dan perilaku adil yang ditunjukkan oleh Institusi ini. Cerminan jiwa besar ini memberi keyakinan kepada seluruh rakyat jelata tanpa mengira perbezaan latar belakang. Disebalik kecamukan dan ketidak tentuan di waktu sukar, imej “Raja Berjiwa Rakyat” memberi perasaan tenang dan cetusan harapan bahawa keadaan akan kembali pulih dan ceria. Sebagaimana sayangnya rakyat kepada institusi ini, sebegitulah sayangnya Institusi Raja di Malaysia kepada seluruh rakyatnya. Di kala senang mahupun di kala sukar, Institusi Raja dan Rakyat sentiasa kekal bersama. Di Malaysia, Demokrasi Berperlembagaan ini kuat dan utuh kerana Raja dan rakyat saling lengkap melengkapi. Istana dan rakyat berpisah tiada.
Ibnu Muhsin