Input your search keywords and press Enter.

Imigresen Tumpaskan Sindiket Pemalsuan Dokumen – KP Imigresen

M Update, 14/8/2020 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan rangkaian sindiket pemalsuan dokumen yang aktif di kawasan Lembah Klang dengan penahanan beberapa warga asing termasuk dalang sindiket, hasil risikan selama dua bulan.

Imigresen melakukan serbuan pertama pada 9 Julai di sebuah kediaman di Cheras, Selangor yang dijadikan tempat membuat dokumen palsu serta menahan dua lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita Mongolia kerana terbabit dalam sindiket pemalsuan dokumen.

Hasil siasatan kemudiannya membawa kepada pembongkaran satu lagi rangkaian sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi seorang lelaki warga Bangladesh menerusi serbuan di sebuah premis kediaman di Jalan Klang Lama, Selangor pada 10 Ogos.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata lelaki Bangladesh berumur 39 tahun itu, yang tinggal di Malaysia selama 10 tahun dengan menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam sektor perkhidmatan, mula menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen sejak setahun lalu.

“Suspek mengenakan bayaran sebanyak RM300 bagi satu pelekat PLKS palsu manakala bagi satu naskhah pasport palsu sebanyak RM100,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara yang ditemukan di premis di Jalan Klang Lama itu ialah sembilan pasport Bangladesh palsu, empat pelekat PLKS palsu, sebuah komputer riba, sebuah mesin pencetak dan pelbagai peralatan untuk membuat pasport palsu, selain kereta Nissan Sentra milik suspek turut disita.

“Suspek dipercayai mampu mengaut keuntungan sebanyak RM8,000 hingga RM10,000 sebulan hasil daripada jualan dokumen palsu terbabit dan semua hasil keuntungan dihantar ke Bangladesh,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, modus operandi yang digunakan suspek ialah menjalankan kegiatan kereta sewa tidak berlesen atau lebih dikenali sebagai ‘teksi sapu’ untuk mencari pelanggan di sekitar Kuala Lumpur, dengan menawarkan pelanggan pelekat PLKS dan pasport palsu.

“Kebanyakan warga Bangladesh yang menjadi pelanggannya membeli dokumen berkenaan bagi memudahkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia. Ini kerana majikan takut untuk mengambil pekerja asing yang tiada pasport,” katanya.

Menurut Khairul Dzaimee, suspek ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM30,000 dan penjara minimum lima tahun serta boleh dikenakan enam sebatan maksimum. – BERNAMA