Input your search keywords and press Enter.

ERL Gantung Sementara Semua Perkhidmatan Rel

M Update, 3/4/2020 – Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan menggantung semua perkhidmatan rel miliknya, bermula esok, hingga tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir pada 14 April depan.

Keputusan itu dibuat berikutan wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia menyebabkan semua penerbangan digantung, sekali gus tiada pengguna yang menggunakan ERL. ERL dalam satu kenyataan, menjelaskan langkah itu juga penting bagi memastikan kelangsungan perkhidmatannya selepas PKP berakhir, selain dibuat selepas perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan.

“Penggantungan sementara ERL di Kuala Lumpur adalah selaras situasi sama di seluruh dunia, dengan beberapa perkhidmatan rel bagi penerbangan lain turut digantung.

“Ia termasuk Tren Lapangan Terbang Bandar di Vienna, Rhonexpress di Lyon, Gatwick Express di London, Gautrain di Johannesburg dan Laluan Ekspres Lapangan Terbang di New Delhi.

“ERL memohon maaf atas segala kesulitan, dan penumpang dinasihat menggunakan alternatif lain. Pelanggan boleh memulangkan tiket yang belum digunakan untuk mendapat bayaran balik melalui perkhidmatan bantuan pelanggan ERL.

Untuk maklumat terkini perkhidmatan, layari laman sesawang: www.KLIAekspres.com, Facebook KLIA Ekspres atau hubungi khidmat bantuan pelanggan kami melalui talian 03-22678000 antara Isnin hingga Jumaat, jam 8.30 pagi hingga 6 petang waktu tempatan,” katanya. -BH Online

Leave a Reply