Input your search keywords and press Enter.

Agong, PM Adakan Mesyuarat Pra-Kabinet Ke-2 Menerusi Sidang Video

M Update, 22/4/2020 – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengadakan sesi pra-Kabinet kali kedua bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sidang video di Istana Negara.

Istana Negara dalam catatan laman Instagram rasminya, menyatakan bahawa mesyuarat menerusi sidang video itu diadakan berikutan fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

“Mesyuarat pra-Kabinet adalah aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan isu semasa,” menurut catatan itu, hari ini.

Secara lazimnya, Seri Paduka akan berangkat ke Istana Melawati untuk mesyuarat pra-Kabinet.

“Namun Yang di-Pertuan Agong telah berkenan supaya mesyuarat pra-Kabinet diteruskan menerusi sidang video semasa PKP ini berjalan dan ini mencerminkan keprihatinan tinggi Al-Sultan Abdullah terhadap pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat,” menurut catatan itu lagi.

Pada Rabu minggu lalu, Al-Sultan Abdullah berkenan mengadakan sesi sidang video julung kali bersama Perdana Menteri, juga dari Istana Negara. – BERNAMA

Leave a Reply