M Update, 15/5/2020 – Tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Jumaat, 22 Mei bersamaan 29 Ramadan 1441 Hijrah di 15 lokasi terpilih di seluruh negara, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Kenyataan dikeluarkan pada Jumaat itu menyebut, Majlis Raja-Raja juga bersetuju cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab dengan tarikh sambutan akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam itu juga melalui radio dan televisyen.
Sebanyak 15 lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang;
Lokasi lain yang turut terpilih ialah Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah; Balai Besar, Kuala Terengganu, Terengganu; Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu, Kelantan; Teluk Bandung, Kuching, Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah.
Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang; Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa, Labuan; Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis. – BERNAMA