M Update, 2/6/2020 – Keputusan permohonan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kumpulan ketiga akan diumumkan pertengahan bulan ini dengan bayaran sekaligus dibuat bermula akhir bulan.
Tempoh permohonan antara 11 dan 31 Mei lalu mencatatkan 170,000 rayuan dan akan disemak secara manual. Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pihaknya juga mengucapkan terima kasih kepada pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang bertugas pada hujung minggu lalu untuk membolehkan orang ramai mengemukakan dokumen sebelum proses rayuan BPN ditutup.
“Sehingga kini, jumlah penerima BPN dari kumpulan pertama hingga ketiga adalah dianggarkan seramai 10.77 juta, membabitkan peruntukan sebanyak RM11.5 bilion.
“Ia adalah peruntukan tambahan sebanyak RM1.5 bilion,” katanya dalam perkongsian video mengenai pelaksanaan Pakej Prihatin di Facebook rasminya, hari ini.
Menurutnya, terdapat tiga kumpulan penerima BPN iaitu kumpulan pertama yang meliputi 8.3 juta penerima menerima bayaran secara berperingkat dalam fasa pertama dan kedua. Sehingga 31 Mei, bagi fasa pertama, seramai 7.93 juta penerima menerima bayaran berjumlah RM5.56 bilion. Bagi fasa kedua pula, seramai 7.9 juta individu menerima bayaran berjumlah RM3.55 bilion.
Selebihnya adalah mereka yang belum lagi menuntut bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang mana mereka masih boleh berbuat demikian sehingga 31 Disember ini. Bagi kumpulan kedua, mereka meliputi 2.3 juta penerima yang diumumkan pada 9 Mei lalu.
Dari jumlah ini, sehingga 31 Mei, seramai 2.08 juta penerima menerima bantuan BPN yang dibuat secara sekaligus berjumlah RM1.57 bilion. Proses pembayaran melalui akaun bank berjalan lancar dan penerima selebihnya adalah mereka yang boleh menuntut secara tunai di BSN. Manakala, kumpulan ketiga adalah mereka yang membuat rayuan antara 11 dan 31 Mei lalu dan masih menanti kelulusan. – HM Online