Input your search keywords and press Enter.

Pendekatan Menyeluruh Tangani Jangkitan Kalangan Pekerja Asing

M Update, 5/6/2020 – Pendekatan menyeluruh perlu diambil dalam menangani penularan wabak COVID-19 kalangan pekerja warga asing terutama pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam depoh tahanan Imigresen.

Ia berikutan, keadaan depoh tahanan yang mempunyai ruang terbatas dan sesak, dilihat menyumbang kepada penularan wabak berkenaan, seperti yang digambarkan melalui bilangan kes positif COVID-19 sebelum ini, termasuk sejumlah 270 kes baharu dikesan di depoh tahanan imigresen setakat tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pendekatan menyeluruh itu memerlukan keseluruhan jentera kerajaan dan masyarakat bagi menangani penularan kalangan pekerja warga asing di negara ini.

Beliau berkata, berdasarkan kepada pemerhatian dan data sedia ada, Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti isu perumahan dan kebersihan menjadi penyumbang kepada penularan dalam kalangan pekerja warga asing berkenaan.

Justeru, katanya, sangat penting untuk pendekatan menyeluruh diambil bagi menangani isu perumahan, dan langkah pencegahan yang perlu diambil dalam memastikan jangkitan tidak berlaku.

“Bagi PATI, kita sudah tempatkan mereka di Depoh Tahanan Imigresen. Mungkin seorang dua daripada mereka yang ketika saringan dilakukan, berada dalam tempoh inkubasi dan hasil ujian didapati negatif, namun selepas dimasukkan ke dalam depoh tahanan imigresen, mereka menjadi positif dan menjangkiti tahanan lain. Itu antara kemungkinan.

“Kita juga perlu melihat kesesakan di depoh tahanan imigresen. Apabila ada satu kes positif, ia akan menjadi besar dalam ruangan terhad. Kami berharap pendekatan yang kita perlu ambil sekarang ialah dengan kerjasama pelbagai agensi untuk menangani isu pekerja warga asing. PATI juga memerlukan pendekatan yang menyeluruh, ini antara isunya.

“Persoalannya sekarang, bagaimana menyelesaikan isu ini, jadi pendekatan semua jentera kerajaan dan masyarakat perlu supaya isu ini dapat ditangani,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya juga bimbang risiko penularan wabak COVID-19 dalam kalangan banduan dan tahanan di penjara, dan melihat kemungkinan untuk mengesyorkan ujian saringan dilakukan terlebih dahulu bagi membolehkan mereka yang positif dapat diasingkan.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya percaya percaya protokol kemasukan pendatang tanpa izin ke Depoh Tahanan Imigresen juga perlu dilihat semula.

Katanya, ia adalah perkara yang pernah disuarakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta berharap KKM dibabitkan dalam perancangan pelan tindakan pelbagai kementerian dalam menangani isu pekerja asing. Setakat hari ini, kes COVID-19 dikesan di empat depoh tahanan imigresen iaitu DTI Bukit Jalil, DTI Semenyih, DTI Sepang dan DTI Putrajaya. – BH Online

Leave a Reply