M Update, 12/6/2020 – Prosedur operasi standard (SOP) ibadat korban serta solat sunat Aidiladha semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata SOP itu kini dalam proses penambahbaikan termasuk mendapatkan pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.
“Insya-Allah, mungkin dalam seminggu atau dua minggu lagi kita boleh bentangkan SOP terakhir ibadah korban,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat dan menyaksikan demonstrasi penyembelihan lembu menggunakan sangkar penyembelihan mudah alih, semalam.
Yang hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Sangkar penyembelihan mudah alih itu adalah hasil projek inovasi Yayasan Inovasi Malaysia, dibangunkan pada 2013 dan memudahkan proses penyembelihan ternakan seperti lembu kerana dapat dilakukan lebih cepat tanpa tenaga kerja yang ramai. – BERNAMA