M Update, 15/6/2020 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan mengenai pelajar tahfiz di Negeri Sembilan yang dikatakan positif Covid-19 selepas menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Alor Setar, Kedah, seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya tidak ada menerima laporan berhubung perkara itu.
“Perkara itu tidak benar dan kami tidak ada menerima laporan berhubung kejadian itu,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status dimuat naik di media sosial yang mendakwa ada pelajar tahfiz di Negeri Sembilan pulang ke kampung halaman di Alor Setar, Kedah. Difahamkan pelajar tahfiz itu didakwa positif Covid-19 dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, dia juga dikatakan menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Alor Setar.
Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 120 pusat tahfiz di seluruh negara yang didapati dikunjungi jemaah tabligh lebih lima kali.
“Ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua pelajar tahfiz dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, namun kami bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendaftarkan mereka untuk mengesan kontak rapat serta menjalankan ujian saringan terhadap mereka.
“Malah sehingga ke hari ini, kami tahu maklumat berkaitan nama serta lokasi mereka. Ini kerana mereka adalah antara kumpulan sasaran, namun itu bukan satu stigma kepada golongan terbabit,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 4.1 peratus kes positif Covid-19 yang direkodkan di negara ini membabitkan golongan pelajar tahfiz.
“Justeru itu, kami akan melaksanakan pemantauan dan ujian saringan terhadap golongan terbabit secara berterusan,” katanya.