Input your search keywords and press Enter.

JSJ: Polis Tidak Sewenang-Wenangnya Guna SOSMA

M Update, 18/6/2020 – Polis tidak akan sewenang-wenangnya menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ke atas mana-mana individu tanpa alasan kukuh mengikut undang-undang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata tiga pemandu teksi ditahan mengikut akta itu, baru-baru ini, adalah berhubung siasatan kes sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadi ancaman besar kepada keselamatan negara.

“Polis menegaskan, tangkapan pemandu teksi itu yang disyaki membawa PATI keluar dan masuk Malaysia, adalah berdasarkan siasatan serta maklumat kukuh.

“Kesemua mereka disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran secara berterusan dengan menjadikan teksi sebagai ‘transporter’ utama bagi menguruskan aktiviti keluar masuk migran secara haram.

“Dakwaan sesetengah pihak mempertikaikan tangkapan itu mengikut SOSMA adalah tuduhan secara ‘mala fide’ yang berniat jahat untuk mencemarkan imej dan reputasi pasukan polis tanpa mengetahui fakta sebenar,” katanya.

Mengulas lanjut, Huzir menasihati pihak berkaitan supaya tidak campur tangan dalam siasatan yang masih dijalankan atau sedia berdepan tindakan undang-undang. – BH Online

Leave a Reply