Input your search keywords and press Enter.

Ibadah Korban Dibenarkan Di Masjid, Surau Dan Kawasan Persendirian

M Update, 6/7/2020 – Kerajaan membenarkan ibadah korban dilaksanakan di masjid, surau serta kawasan persendirian sempena sambutan Aidiladha akhir bulan ini dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor menegaskan, pematuhan SOP itu penting bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan sehingga 31 Ogos ini.

Beliau berkata, antara SOP perlu dipatuhi ialah hanya 10 petugas dibenarkan terbabit dalam proses penyembelihan dan urusan melapah lembu serta kerbau manakala untuk kambing hanya empat orang.

“Ia bagi memastikan penjarakan sosial sentiasa dipatuhi, selain mengelakkan kehadiran terlalu ramai orang awam di tempat penyembelihan.

“Petugas harus dipastikan sihat, tiada gejala wabak COVID-19, bukan penghidap penyakit kronik, bukan kanak-kanak bawah 12 tahun dan bukan orang sedang dalam siasatan (PUI) serta bukan orang sedang dalam pengawasan (PUS),” katanya.

Dr Norlizan turut berkata, pihak yang terbabit dalam proses penyembelihan haiwan korban juga wajib mendapat permit menyembelih selain setiap haiwan ternakan yang ingin disembelih perlu mendapat Sijil Kesihatan Veterinar (SKV).

“Bagaimanapun, kami amat menggalakkan mereka yang ingin melakukan ibadah korban supaya menyembelih haiwan ternakan di rumah sembelihan jabatan atau swasta yang berlesen.

“Kami ada 28 rumah sembelihan di seluruh negara, selain puluhan lagi rumah penyembelihan ruminan swasta yang dilesenkan oleh jabatan,” katanya.

Beliau berkata, permit penyembelihan harus dikemukakan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum menyembelih haiwan berkenaan bagi membolehkan pegawai jabatan veterinar hadir untuk memeriksa tahap kesihatan haiwan itu.

“Semua urusan pemindahan haiwan ternakan, sisa dan daging perlu mendapat kebenaran jabatan,” katanya.

Katanya, peraturan ini penting dipatuhi bagi memastikan haiwan ternakan yang akan dikorbankan itu bebas daripada penyakit selain bertujuan mengawal penularan penyakit. – BH Online

Leave a Reply