M Update, 8/7/2020 – Semua pihak termasuk guru, yang mahu memasuki Sarawak dari Sabah atau Semenanjung, tidak perlu menjalani kuarantin 14 hari di rumah berikutan semua perjalanan merentas negeri sudah dibenarkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata rakyat Malaysia kini bebas untuk bergerak merentas negeri di seluruh negara.
“Mungkin pada peringkat awal ketika diumumkan, keadaan tidak mengizinkan, maka perlu ada kuarantin di rumah di sana. “Namun sekarang, keadaan di Sabah dan Sarawak sudah terkawal, tidak ada lagi isu seperti dulu… kes banyak dan sebagainya.
“Oleh itu, rentas negeri di seluruh Malaysia termasuk dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, tidak perlu kuarantin di rumah secara wajib seperti dulu lagi,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, mereka berkemungkinan disaring secara rambang di lapangan terbang. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas permintaan guru dari Semenanjung dan Sabah supaya Kerajaan Persekutuan mengadakan persetujuan dengan Kerajaan Sarawak bagi memendekkan tempoh kuarantin di rumah sebaik saja mereka tiba di negeri itu. – BH Online